Monday, June 16, 2014

Empat elemen perlu dikuasai umat Islam

ARKIB : 22/05/2014
Dalam Negeri

KUALA LUMPUR 21 Mei - Usaha menggembleng ilmu, ekonomi, kuasa dan media penting dalam menyediakan benteng agama yang kukuh di negara ini.

Pensyarah Jabatan Syariah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Dr. Mohamad Zaidi Abdul Rahman berkata, ilmu boleh diangkat menjadi teras dan pelindung utama bagi memastikan kemurnian mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

"Kegunaan asasnya, boleh berdepan cabaran berbentuk fahaman yang lazimnya mengelirukan, disantuni dengan memberi kefahaman yang benar. Ini adalah sebahagian usaha besar ulama silam menghadapi pelbagai ancaman fahaman yang mencabar kemurnian ASWJ.

"Saluran penulisan dan lisan diangkat yang pada masa itu sebagai salah satu medium memberi pencerahan kepada makna-makna yang perlu dipegang oleh umat," katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Malaysia Sebagai Benteng ASWJ Alam Melayu: Strategi Memperkasakannya' dalam Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah Ke-6 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Zaidi berkata, usaha ulama silam boleh diperluaskan pada masa ini khususnya melalui teknologi yang semakin canggih terutama dengan menguasai kepesatan media massa dan elektronik.

"Jika dahulu, cabarannya mengambil masa yang agak lama, kini setiap saat lahir kepelbagaian maklumat yang memerlukan jawapan dan penyelesaian dengan segera.

"Justeru, penguasaan kepada penggunaan kecanggihan multimedia bukan sahaja dapat menyalurkan maklumat tetapi boleh menjadi perencah di kala masyarakat telah terbiasa dengan budaya hedonisme," katanya.

Tambah beliau, penerokaan genre-genre lain seperti nyanyian, drama dan kartun yang disulami mesej-mesej ASWJ boleh memberi alternatif kepada masyarakat yang mempunyai kepelbagaian latar belakang kehidupan.

Sektor ekonomi juga katanya, berperanan sebagai pelicin kepada banyak perancangan dalam pemeliharaan kesucian agama di negara ini.

Menurutnya, kerja-kerja tersebut memerlukan dana yang besar bagi membiayai aktiviti penyelidikan, penyampaian penyiaran dan percetakan serta keperluan logistik.

"Akhirnya, komponen kuasa turut menjadi pelengkap kepada benteng memperkasa ASWJ. Saluran ini boleh memberi impak yang segera khususnya bagi menyelamatkan akidah ummah," katanya.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, terdapat keperluan mencipta gandingan ulama-ulama yang harmoni agar kedua-duanya saling menyokong bagi memantapkan perjalanan agama dan negara ke landasan yang diredai Allah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140522/dn_04/Empat-elemen-perlu-dikuasai-umat-Islam#ixzz34s14XRhc
© Utusan Melayu (M) Bhd

ASWJ selari jiwa Melayu

BICARA AGAMA

ARKIB : 12/06/2014
Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD
Gambar: HALIM KHALID



MENYEBUT Ahli Sunnah wal-Jamaah (ASWJ) sememangnya sudah tidak asing lagi bagi masyarakat Islam di negara ini. Malah rata-rata mengakui berpegang dengan fahaman yang disahkan menjadi pegangan rasmi bagi umat Islam itu.

Namun malangnya, apabila membicarakan mengenai perkara itu, masih ramai yang tidak mengetahui apakah definisi sebenar kalimah yang selama ini dijadikan panduan tersebut.

Hakikatnya, menurut Pensyarah Jabatan Siyasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr. Muhammad Zaidi Abdul Rahman, fahaman ASWJ adalah sangat hampir dengan identiti umat Islam di negara ini.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk, Malaysia Sebagai Benteng ASWJ Alam Melayu pada wacana Pencerahan Tasawwur Ahli Sunah wal-Jamaah anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, ini dibuktikan dengan sikap masyarakat Melayu yang lemah lembut, bertoleransi dan sukakan keamanan bertepatan dengan ajaran yang dibawa oleh agama Islam fahaman ASWJ.

“Jika penyebaran Islam di Tanah Arab dan beberapa negara dunia lain pada lebih 1,500 tahun dahulu sering diiringi dengan peperangan, namun berbeza dengan apa yang berlaku di Nusantara terutamanya di Tanah Melayu ketika awal kemasukannya.

“Dikatakan, mimpi bertemu Rasulullah SAW yang dialami oleh Raja Kecil Besar merupakan antara isyarat kemasukan Islam sebelum disusuli dengan kedatangan ulama bernama Syed Abdul Aziz dari Jeddah ke Melaka untuk menyebarkan agama Islam," katanya.

Malah, Zaidi berkata, sejarah turut membuktikan, proses pengislaman Raja-Raja Melayu sebelum diikuti dengan masyarakat Melayu pada ketika itu, sekali gus membuktikan bahawa kedudukan dan kuasa tidak membuatkan mereka angkuh untuk menerima ajaran Islam.

Perkara itu ujarnya, membuktikan bahawa ajaran Islam melalui fahaman ASWJ yang disebarkan adalah bersesuaian dengan jiwa masyarakat Melayu.

“Catatan sejarah menunjukkan penerimaan awal raja-raja telah membuka ruang yang meluas terhadap perkembangan Islam kepada masyarakat di Nusantara. Ini selaras dengan masyarakat yang berteraskan patriarki dan feudal pada masa itu memudahkan lagi tersebarnya Islam secara terbuka tanpa sebarang unsur kekerasan.

“Sehinggakan berlaku transformasi dalam kalangan masyarakat Melayu pada masa itu yang mengamalkan kepercayaan banyak tuhan kepada prinsip tauhid iaitu beriman kepada Allah SWT. Perubahan ini dicorakkan melalui fahaman ASWJ yang menjadi dominan utama yang menggerakkan fahaman ajaran Islam pada awal kedatangannya di rantau ini.

“Malah, pengaruh agama Islam berjaya mencorakkan identiti Melayu, sehingga pelbagai aspek termasuk kepercayaan dan perundangan diterapkan dengan elemen-elemen Islam, manakala pengaruh agama kuno pula mula mengecil," katanya.

Keselarian itu tambah Zaidi, menjadikan Nusantara terutamanya di Malaysia menjadi sebagai tunggak utama benteng ASWJ pada masa ini untuk terus diperluas dan diamalkan bebas berbanding negara Islam lain.

“Dianggarkan hampir 90 peratus umat Islam di negara ini adalah mengamalkan fahaman ASWJ. Sejak abad ke-15 lagi telah menyaksikan Islam mempunyai benteng yang kuat melalui keutuhan kerajaan Melaka di Nusantara.

“Pengukuhan ini hasil daripada hubungan baik yang dijalin antara ulama dan yang mencorakkan dan menyebarkan ilmu-ilmu Islam berteraskan fahaman ASWJ di kawasan sekitar.

“Sokongan turut diberikan oleh pihak istana dengan menyediakan kemudahan dan prasarana untuk kegiatan pengajaran, kepustakaan dan penyebaran agama Islam seperti era pemerintahan Bani Umayyah dan Bani Abassiyyah pada zaman kegemilangannya," katanya.

Wacana selama dua hari itu membentangkan sebanyak sembilan kertas kerja daripada pakar pelbagai bidang seperti Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Profesor Datuk Paduka Zakaria Stapa yang membentangkan kertas kerja bertajuk, ASWJ, Satu Kerangka Umum; Pensyarah Sekolah Perniagaan Islam, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr. Asmadi Mohamed Naim dan banyak lagi.

Program dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Yang turut hadir, Presiden Muafakat, Ismail Mina Ahmad.

Memperkasa ASJW di Malaysia

Justeru, Zaidi berkata, umat Islam perlu bersama-sama memelihara serta memperkasa fahaman berlandaskan al-Quran dan sunah itu daripada tercemar dan pupus daripada menjadi amalan generasi pada masa akan datang.

Ia katanya, penting bagi mengekang fahaman-fahaman asing seperti Syiah, Liberalisme, Wahabi-Salafi dan ajaran-ajaran sesat daripada tersebar meluas dan pada masa sama mengelirukan umat Islam terhadap ajaran ASWJ.

“Kerjasama semua pihak perlu dalam memelihara fahaman ASWJ di negara ini. Menggabungkan kepakaran ulama dengan kecanggihan teknologi membolehkan strategi memperkasakan fahaman ASWJ lebih berkesan.

“Golongan agama perlu bersatu padu dalam memberi penerangan kepada orang ramai dan jangan menangguk di air yang keruh kerana sebab-sebab peribadi atau kelompok. Sasaran strategik paling utama pastinya dipikul oleh guru-guru agama yang mempunyai ribuan murid.

“Begitu juga para penulis dan penyelidik juga harus memberikan sokongan dengan memerhati dan meneliti isu-isu semasa yang berlaku sebelum didedahkan kepada khalayak dengan penerangan yang mudah difahami," jelasnya.

Kaedah menerbitkan bahan-bahan yang sealiran dengan ASWJ juga tambahnya, perlu sebarkan meluas dengan memfokuskan mengikut kefahaman golongan sasar.

“Pada asasnya, untuk menyediakan benteng yang kukuh memerlukan kerjasama terancang melalui gembelengan ilmu, ekonomi kuasa dan media bagi memastikan fahaman ASWJ yang diyakini itu agar benar-benar murni," ujarnya.

PENGESAHAN fahaman ASWJ untuk diamalkan di Malaysia telah diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan yang memutuskan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikuti ajaran Islam yang berasaskan pegangan ASWJ daripada segi akidah, syariat dan akhlak.

Perkara itu disokong oleh panel Kajian Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) secara rasmi memperakukan bahawa ASWJ adalah golongan yang memahami dan berpegang kepada al-Quran dan sunah Nabi Muhammad SAW menerusi para sahabat, Tabi'in dan Tabi' Tabi'in yang setia bersama mereka dalam prinsip akidah, syariah dan akhlak.

Manakala pakar tasawuf, Allahyarham Uthman el-Muhammady mengatakan, umat Islam yang berpegang dengan fahaman ASWJ adalah mengamalkan akidah mengikut mazhab Imam Asy'ari, dalam fiqh ia mengikut mazhab Syafie, manakala kerohanian mengikut Imam al-Ghazali.

Bagaimanapun Zaidi berkata, walaupun fahaman ASWJ telah dilabelkan sebagai fahaman rasmi di negara ini, namun apa yang lebih membimbangkan terdapat pergolakan dalaman yang wujud dalam fahaman tersebut.

“Jika fahaman asing seperti Syiah, aliran liberal dan sekular mudah dilakukan kerana ia jelas bertentangan dengan fahaman ASWJ. Tetapi apa yang lebih membimbangkan adalah polemik antara fahaman ‘Salafi’ dengan ‘Asyairah dan Maturidiyyah’.

“Ini agak konflik kerana sistem rujukan sumber hukum mereka yang sama. Malah kedua-dua fahaman ini juga tegas mendakwa mereka adalah daripada kelompok ASWJ yang sebenar.

“Cabaran dalaman ini jika tidak diuruskan dengan berhemah bakal melemahkan benteng yang ingin dibina dan akan menyebabkan perpecahan walaupun kepada perkara yang bersifat sampingan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140612/ba_02/ASWJ-selari-jiwa-Melayu#ixzz34rzXs0aG
© Utusan Melayu (M) Bhd

ARKIB : 12/06/2014

ASWJ selari jiwa Melayu



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140612/ba_02/ASWJ-selari-jiwa-Melayu#ixzz34rzEfwDX
© Utusan Melayu (M) Bhd

ARKIB : 12/06/2014

ASWJ selari jiwa Melayu



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140612/ba_02/ASWJ-selari-jiwa-Melayu#ixzz34rzEfwDX
© Utusan Melayu (M) Bhd


ARKIB : 12/06/2014

ASWJ selari jiwa Melayu



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140612/ba_02/ASWJ-selari-jiwa-Melayu#ixzz34rzEfwDX
© Utusan Melayu (M) Bhd


ARKIB : 12/06/2014

ASWJ selari jiwa Melayu



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140612/ba_02/ASWJ-selari-jiwa-Melayu#ixzz34rzEfwDX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Aliran ahli sunnah asas perpaduan








APAKAH rahsia rakyat berbilang kaum dapat hidup dengan aman dan damai di Malaysia? Jawapannya kerana kaum Melayu beragama Islam yang merupakan penduduk majoriti di negara ini berpegang kepada aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Ketika membuat pendedahan itu semasa merasmikan Wacana Pencerahan Tasawwur ASWJ, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, aliran itu yang telah sebati dengan masyarakat Islam di Malaysia merupakan faktor utama yang mendidik orang Melayu supaya mengamalkan nilai-nilai wasatiyyah atau kesederhanaan.

Katanya, nilai-nilai kesederhanaan telah dapat mengelakkan umat Islam daripada melakukan tindakan yang melampau dalam hubungan antara kaum dan agama.

"Secara tidak langsung, ajaran ASWJ yang dipegang oleh umat Islam di Malaysia merupakan asas penting yang membawa kepada keamanan, kestabilan dan keharmonian di negara kita.

"Oleh yang demikian, sudah pastilah ajaran ASWJ perlu terus diperkukuhkan dan diperkasakan di Malaysia," katanya pada wacana dua hari anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur yang berakhir Rabu lalu.

Sejajar dengan saranan Muhyiddin itu, Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Dr. Mohamad Zaidi Abdul Rahman mencadangkan supaya kerajaan dan ilmuwan Islam saling bekerjasama bagi mengekang fahaman asing seperti Syiah, Islam liberal, pluralisme agama dan sekularisme yang dilihat boleh melemahkan aliran ASWJ di negara ini.

"Ini termasuk juga aliran Salafi-Wahabi yang dibawa oleh Muhammad Abdul Wahab serta fahaman akidah yang dibawa oleh Ibnu Taymiyyah, Ibnu Qayyim, Muhammad Abduh dan Rasyid Ridha.

"Fahaman terbabit jelas sekali bertentangan dengan ASWJ yang berpegang kepada ajaran Imam Abu Hasan al-Asyari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi dari segi akidah; Imam Syafie dari segi fikah manakala aspek akhlak dan kerohanian pula berpandukan kepada pendekatan yang dibawa Imam al-Ghazali," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Malaysia Sebagai Benteng ASWJ Alam Melayu: Strategi untuk Memperkasakannya’.

Menurutnya lagi, Panel Kajian Akidah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula memberi definisi ASWJ sebagai golongan yang memahami dan berpegang kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW menerusi para sahabat, tabii dan tabi tabiin serta setia bersama mereka dalam prinsip-prinsip akidah, syariah dan akhlak.

"Antara ciri-ciri umum aliran ASWJ yang digariskan oleh Jakim ialah sikap mengutamakan perpaduan, persaudaraan Islam dan perdamaian; berpegang kepada prinsip tidak memuja pemimpin serta tidak taksub hingga mengkafirkan atau menyesatkan sesama Islam," katanya.

Jelas beliau, penolakan terhadap fahaman asing seperti Syiah, aliran liberal dan sekular mudah dilakukan kerana mereka sendiri tidak mahu dikaitkan dengan identiti ASWJ.

"Tetapi wujud polemik yang boleh mewujudkan perpecahan antara Salafi-Wahabi dan ASWJ kerana sistem rujukan sumber hukum yang sama, malahan masing-masing dengan tegar mendakwa merekalah kelompok ASWJ yang murni," jelas Mohamad Zaidi.

Aliran Salafi-Wahabi adalah bersifat radikal berbanding ASWJ yang sederhana, malahan pengikutnya dikatakan cenderung kepada tindak tanduk bengis dan suka mengkafirkan umat Islam lain selain diri mereka.

Golongan berkenaan mengkafirkan pengikut jemaah tabligh dan menganggap ahli tasawuf Islam sama seperti Yahudi yang perlu diperangi.

Mereka juga menganggap bidaah amalan seperti bacaan qunut ketika solat Subuh, sambutan maulidur rasul, bacaan yasin berjemaah, mengangkat tangan semasa berdoa, bacaan talkin dan majlis tahlil.

Dalam pada itu, pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Zakaria Stapa berkata, pegangan terhadap aliran ASWJ telah berjaya menyumbang kepada kedamaian dan keharmonian dalam kehidupan beragama di Malaysia.

"Dalam lain perkataan, aliran ASWJ sebagaimana yang dipegang, diamal dan dihayati di negara ini telah menjadi paksi perpaduan ummah, sehingga sejarah kita tidak pernah mencatatkan berlakunya pertumpahan darah dan huru-hara atas nama agama.

"Dengan itu, ASWJ merupakan satu aset amat bernilai yang mesti dijaga dan dipertahan sebaik mungkin walaupun terpaksa melibatkan harga yang amat tinggi demi perpaduan dan kemajuan ummah," katanya.

Bagaimanapun, ujarnya, akhir-akhir ini aliran ASWJ cuba digugat oleh pihak-pihak tertentu yang muncul dalam satu gelombang, dengan menggunakan pelbagai pendekatan dan peralatan, bertujuan untuk mengkaburkan identiti ASWJ yang sudah meresap pada asas-asas akidah, fikah, tasawuf dan sistem perundangan di Malaysia.

Katanya, tanpa disedari kurikulum Pengajian Islam di sekolah-sekolah juga sudah diresapi dengan fahaman yang bertentangan dengan ASWJ.

Beliau berkata, dalam kurikulum berkenaan terdapat fahaman Salafi-Wahabi berasaskan ajaran Ibnu Taymiyyah tentang akidah yang membahagikan konsep tauhid kepada tiga bahagian iaitu Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid al-Asma Wal Sifat.

"Keyakinan terhadap tiga jenis tauhid ini adalah bertentangan dengan ayat al-Quran dan hadis yang tidak pernah membezakan makna Rabb dengan makna Ilah.

"Terdapat beberapa implikasi yang menakutkan dari perspektif pegangan akidah hasil daripada kenyakinan terhadap tiga jenis tauhid ini termasuk kecenderungan untuk mengkafirkan sesama Islam.

"Dalam konteks semasa, umat Islam sudah tiada masa untuk berpecah dan berperang sesama sendiri atas sebab apa sekalipun, lebih-lebih lagi atas nama agama, seperti yang sedang terjadi di beberapa negara orang Islam masa kini," katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘ASWJ: Satu Kerangka Umum’.

Tambahnya, umat Islam di negara ini tidak wajar membiarkan diri mereka dipengaruhi dengan fahaman-fahaman lain sebaliknya perlu terus berpegang kepada aliran ASWJ yang telah terbukti berjaya membawa kesejahteraan.

"Pengikut aliran ASWJ meliputi 90 peratus daripada keseluruhan umat Islam di dunia masa kini dan hakikat berkenaan menunjukkan ia merupakan golongan arus perdana umat Islam sejak zaman berzaman.

"Dari sudut ini sahaja pun sudah boleh menunjukkan betapa ASWJ merupakan satu aliran atau mazhab yang ortodoks dan autentik mewakili keseluruhan ummah dengan membawa bendera kebenaran dan ketulenan ajaran Islam yang maha suci.

"Ini kerana, menjadi amat sukar diterima akal majoriti, sebegitu besar umat Islam akan bersekongkol memperakui perkara yang sesat dan tidak benar," ujar beliau.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140523/re_01/Aliran-ahli-sunnah-asas-perpaduan#ixzz34rxQksvc
© Utusan Melayu (M) Bhd