Monday, June 16, 2014

Empat elemen perlu dikuasai umat Islam

ARKIB : 22/05/2014
Dalam Negeri

KUALA LUMPUR 21 Mei - Usaha menggembleng ilmu, ekonomi, kuasa dan media penting dalam menyediakan benteng agama yang kukuh di negara ini.

Pensyarah Jabatan Syariah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Dr. Mohamad Zaidi Abdul Rahman berkata, ilmu boleh diangkat menjadi teras dan pelindung utama bagi memastikan kemurnian mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

"Kegunaan asasnya, boleh berdepan cabaran berbentuk fahaman yang lazimnya mengelirukan, disantuni dengan memberi kefahaman yang benar. Ini adalah sebahagian usaha besar ulama silam menghadapi pelbagai ancaman fahaman yang mencabar kemurnian ASWJ.

"Saluran penulisan dan lisan diangkat yang pada masa itu sebagai salah satu medium memberi pencerahan kepada makna-makna yang perlu dipegang oleh umat," katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Malaysia Sebagai Benteng ASWJ Alam Melayu: Strategi Memperkasakannya' dalam Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah Ke-6 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Zaidi berkata, usaha ulama silam boleh diperluaskan pada masa ini khususnya melalui teknologi yang semakin canggih terutama dengan menguasai kepesatan media massa dan elektronik.

"Jika dahulu, cabarannya mengambil masa yang agak lama, kini setiap saat lahir kepelbagaian maklumat yang memerlukan jawapan dan penyelesaian dengan segera.

"Justeru, penguasaan kepada penggunaan kecanggihan multimedia bukan sahaja dapat menyalurkan maklumat tetapi boleh menjadi perencah di kala masyarakat telah terbiasa dengan budaya hedonisme," katanya.

Tambah beliau, penerokaan genre-genre lain seperti nyanyian, drama dan kartun yang disulami mesej-mesej ASWJ boleh memberi alternatif kepada masyarakat yang mempunyai kepelbagaian latar belakang kehidupan.

Sektor ekonomi juga katanya, berperanan sebagai pelicin kepada banyak perancangan dalam pemeliharaan kesucian agama di negara ini.

Menurutnya, kerja-kerja tersebut memerlukan dana yang besar bagi membiayai aktiviti penyelidikan, penyampaian penyiaran dan percetakan serta keperluan logistik.

"Akhirnya, komponen kuasa turut menjadi pelengkap kepada benteng memperkasa ASWJ. Saluran ini boleh memberi impak yang segera khususnya bagi menyelamatkan akidah ummah," katanya.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, terdapat keperluan mencipta gandingan ulama-ulama yang harmoni agar kedua-duanya saling menyokong bagi memantapkan perjalanan agama dan negara ke landasan yang diredai Allah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140522/dn_04/Empat-elemen-perlu-dikuasai-umat-Islam#ixzz34s14XRhc
© Utusan Melayu (M) Bhd

ASWJ selari jiwa Melayu

BICARA AGAMA

ARKIB : 12/06/2014
Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD
Gambar: HALIM KHALID



MENYEBUT Ahli Sunnah wal-Jamaah (ASWJ) sememangnya sudah tidak asing lagi bagi masyarakat Islam di negara ini. Malah rata-rata mengakui berpegang dengan fahaman yang disahkan menjadi pegangan rasmi bagi umat Islam itu.

Namun malangnya, apabila membicarakan mengenai perkara itu, masih ramai yang tidak mengetahui apakah definisi sebenar kalimah yang selama ini dijadikan panduan tersebut.

Hakikatnya, menurut Pensyarah Jabatan Siyasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr. Muhammad Zaidi Abdul Rahman, fahaman ASWJ adalah sangat hampir dengan identiti umat Islam di negara ini.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk, Malaysia Sebagai Benteng ASWJ Alam Melayu pada wacana Pencerahan Tasawwur Ahli Sunah wal-Jamaah anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, ini dibuktikan dengan sikap masyarakat Melayu yang lemah lembut, bertoleransi dan sukakan keamanan bertepatan dengan ajaran yang dibawa oleh agama Islam fahaman ASWJ.

“Jika penyebaran Islam di Tanah Arab dan beberapa negara dunia lain pada lebih 1,500 tahun dahulu sering diiringi dengan peperangan, namun berbeza dengan apa yang berlaku di Nusantara terutamanya di Tanah Melayu ketika awal kemasukannya.

“Dikatakan, mimpi bertemu Rasulullah SAW yang dialami oleh Raja Kecil Besar merupakan antara isyarat kemasukan Islam sebelum disusuli dengan kedatangan ulama bernama Syed Abdul Aziz dari Jeddah ke Melaka untuk menyebarkan agama Islam," katanya.

Malah, Zaidi berkata, sejarah turut membuktikan, proses pengislaman Raja-Raja Melayu sebelum diikuti dengan masyarakat Melayu pada ketika itu, sekali gus membuktikan bahawa kedudukan dan kuasa tidak membuatkan mereka angkuh untuk menerima ajaran Islam.

Perkara itu ujarnya, membuktikan bahawa ajaran Islam melalui fahaman ASWJ yang disebarkan adalah bersesuaian dengan jiwa masyarakat Melayu.

“Catatan sejarah menunjukkan penerimaan awal raja-raja telah membuka ruang yang meluas terhadap perkembangan Islam kepada masyarakat di Nusantara. Ini selaras dengan masyarakat yang berteraskan patriarki dan feudal pada masa itu memudahkan lagi tersebarnya Islam secara terbuka tanpa sebarang unsur kekerasan.

“Sehinggakan berlaku transformasi dalam kalangan masyarakat Melayu pada masa itu yang mengamalkan kepercayaan banyak tuhan kepada prinsip tauhid iaitu beriman kepada Allah SWT. Perubahan ini dicorakkan melalui fahaman ASWJ yang menjadi dominan utama yang menggerakkan fahaman ajaran Islam pada awal kedatangannya di rantau ini.

“Malah, pengaruh agama Islam berjaya mencorakkan identiti Melayu, sehingga pelbagai aspek termasuk kepercayaan dan perundangan diterapkan dengan elemen-elemen Islam, manakala pengaruh agama kuno pula mula mengecil," katanya.

Keselarian itu tambah Zaidi, menjadikan Nusantara terutamanya di Malaysia menjadi sebagai tunggak utama benteng ASWJ pada masa ini untuk terus diperluas dan diamalkan bebas berbanding negara Islam lain.

“Dianggarkan hampir 90 peratus umat Islam di negara ini adalah mengamalkan fahaman ASWJ. Sejak abad ke-15 lagi telah menyaksikan Islam mempunyai benteng yang kuat melalui keutuhan kerajaan Melaka di Nusantara.

“Pengukuhan ini hasil daripada hubungan baik yang dijalin antara ulama dan yang mencorakkan dan menyebarkan ilmu-ilmu Islam berteraskan fahaman ASWJ di kawasan sekitar.

“Sokongan turut diberikan oleh pihak istana dengan menyediakan kemudahan dan prasarana untuk kegiatan pengajaran, kepustakaan dan penyebaran agama Islam seperti era pemerintahan Bani Umayyah dan Bani Abassiyyah pada zaman kegemilangannya," katanya.

Wacana selama dua hari itu membentangkan sebanyak sembilan kertas kerja daripada pakar pelbagai bidang seperti Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Profesor Datuk Paduka Zakaria Stapa yang membentangkan kertas kerja bertajuk, ASWJ, Satu Kerangka Umum; Pensyarah Sekolah Perniagaan Islam, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr. Asmadi Mohamed Naim dan banyak lagi.

Program dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Yang turut hadir, Presiden Muafakat, Ismail Mina Ahmad.

Memperkasa ASJW di Malaysia

Justeru, Zaidi berkata, umat Islam perlu bersama-sama memelihara serta memperkasa fahaman berlandaskan al-Quran dan sunah itu daripada tercemar dan pupus daripada menjadi amalan generasi pada masa akan datang.

Ia katanya, penting bagi mengekang fahaman-fahaman asing seperti Syiah, Liberalisme, Wahabi-Salafi dan ajaran-ajaran sesat daripada tersebar meluas dan pada masa sama mengelirukan umat Islam terhadap ajaran ASWJ.

“Kerjasama semua pihak perlu dalam memelihara fahaman ASWJ di negara ini. Menggabungkan kepakaran ulama dengan kecanggihan teknologi membolehkan strategi memperkasakan fahaman ASWJ lebih berkesan.

“Golongan agama perlu bersatu padu dalam memberi penerangan kepada orang ramai dan jangan menangguk di air yang keruh kerana sebab-sebab peribadi atau kelompok. Sasaran strategik paling utama pastinya dipikul oleh guru-guru agama yang mempunyai ribuan murid.

“Begitu juga para penulis dan penyelidik juga harus memberikan sokongan dengan memerhati dan meneliti isu-isu semasa yang berlaku sebelum didedahkan kepada khalayak dengan penerangan yang mudah difahami," jelasnya.

Kaedah menerbitkan bahan-bahan yang sealiran dengan ASWJ juga tambahnya, perlu sebarkan meluas dengan memfokuskan mengikut kefahaman golongan sasar.

“Pada asasnya, untuk menyediakan benteng yang kukuh memerlukan kerjasama terancang melalui gembelengan ilmu, ekonomi kuasa dan media bagi memastikan fahaman ASWJ yang diyakini itu agar benar-benar murni," ujarnya.

PENGESAHAN fahaman ASWJ untuk diamalkan di Malaysia telah diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan yang memutuskan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikuti ajaran Islam yang berasaskan pegangan ASWJ daripada segi akidah, syariat dan akhlak.

Perkara itu disokong oleh panel Kajian Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) secara rasmi memperakukan bahawa ASWJ adalah golongan yang memahami dan berpegang kepada al-Quran dan sunah Nabi Muhammad SAW menerusi para sahabat, Tabi'in dan Tabi' Tabi'in yang setia bersama mereka dalam prinsip akidah, syariah dan akhlak.

Manakala pakar tasawuf, Allahyarham Uthman el-Muhammady mengatakan, umat Islam yang berpegang dengan fahaman ASWJ adalah mengamalkan akidah mengikut mazhab Imam Asy'ari, dalam fiqh ia mengikut mazhab Syafie, manakala kerohanian mengikut Imam al-Ghazali.

Bagaimanapun Zaidi berkata, walaupun fahaman ASWJ telah dilabelkan sebagai fahaman rasmi di negara ini, namun apa yang lebih membimbangkan terdapat pergolakan dalaman yang wujud dalam fahaman tersebut.

“Jika fahaman asing seperti Syiah, aliran liberal dan sekular mudah dilakukan kerana ia jelas bertentangan dengan fahaman ASWJ. Tetapi apa yang lebih membimbangkan adalah polemik antara fahaman ‘Salafi’ dengan ‘Asyairah dan Maturidiyyah’.

“Ini agak konflik kerana sistem rujukan sumber hukum mereka yang sama. Malah kedua-dua fahaman ini juga tegas mendakwa mereka adalah daripada kelompok ASWJ yang sebenar.

“Cabaran dalaman ini jika tidak diuruskan dengan berhemah bakal melemahkan benteng yang ingin dibina dan akan menyebabkan perpecahan walaupun kepada perkara yang bersifat sampingan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140612/ba_02/ASWJ-selari-jiwa-Melayu#ixzz34rzXs0aG
© Utusan Melayu (M) Bhd

ARKIB : 12/06/2014

ASWJ selari jiwa Melayu



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140612/ba_02/ASWJ-selari-jiwa-Melayu#ixzz34rzEfwDX
© Utusan Melayu (M) Bhd

ARKIB : 12/06/2014

ASWJ selari jiwa Melayu



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140612/ba_02/ASWJ-selari-jiwa-Melayu#ixzz34rzEfwDX
© Utusan Melayu (M) Bhd


ARKIB : 12/06/2014

ASWJ selari jiwa Melayu



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140612/ba_02/ASWJ-selari-jiwa-Melayu#ixzz34rzEfwDX
© Utusan Melayu (M) Bhd


ARKIB : 12/06/2014

ASWJ selari jiwa Melayu



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140612/ba_02/ASWJ-selari-jiwa-Melayu#ixzz34rzEfwDX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Aliran ahli sunnah asas perpaduan








APAKAH rahsia rakyat berbilang kaum dapat hidup dengan aman dan damai di Malaysia? Jawapannya kerana kaum Melayu beragama Islam yang merupakan penduduk majoriti di negara ini berpegang kepada aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Ketika membuat pendedahan itu semasa merasmikan Wacana Pencerahan Tasawwur ASWJ, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, aliran itu yang telah sebati dengan masyarakat Islam di Malaysia merupakan faktor utama yang mendidik orang Melayu supaya mengamalkan nilai-nilai wasatiyyah atau kesederhanaan.

Katanya, nilai-nilai kesederhanaan telah dapat mengelakkan umat Islam daripada melakukan tindakan yang melampau dalam hubungan antara kaum dan agama.

"Secara tidak langsung, ajaran ASWJ yang dipegang oleh umat Islam di Malaysia merupakan asas penting yang membawa kepada keamanan, kestabilan dan keharmonian di negara kita.

"Oleh yang demikian, sudah pastilah ajaran ASWJ perlu terus diperkukuhkan dan diperkasakan di Malaysia," katanya pada wacana dua hari anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur yang berakhir Rabu lalu.

Sejajar dengan saranan Muhyiddin itu, Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Dr. Mohamad Zaidi Abdul Rahman mencadangkan supaya kerajaan dan ilmuwan Islam saling bekerjasama bagi mengekang fahaman asing seperti Syiah, Islam liberal, pluralisme agama dan sekularisme yang dilihat boleh melemahkan aliran ASWJ di negara ini.

"Ini termasuk juga aliran Salafi-Wahabi yang dibawa oleh Muhammad Abdul Wahab serta fahaman akidah yang dibawa oleh Ibnu Taymiyyah, Ibnu Qayyim, Muhammad Abduh dan Rasyid Ridha.

"Fahaman terbabit jelas sekali bertentangan dengan ASWJ yang berpegang kepada ajaran Imam Abu Hasan al-Asyari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi dari segi akidah; Imam Syafie dari segi fikah manakala aspek akhlak dan kerohanian pula berpandukan kepada pendekatan yang dibawa Imam al-Ghazali," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Malaysia Sebagai Benteng ASWJ Alam Melayu: Strategi untuk Memperkasakannya’.

Menurutnya lagi, Panel Kajian Akidah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula memberi definisi ASWJ sebagai golongan yang memahami dan berpegang kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW menerusi para sahabat, tabii dan tabi tabiin serta setia bersama mereka dalam prinsip-prinsip akidah, syariah dan akhlak.

"Antara ciri-ciri umum aliran ASWJ yang digariskan oleh Jakim ialah sikap mengutamakan perpaduan, persaudaraan Islam dan perdamaian; berpegang kepada prinsip tidak memuja pemimpin serta tidak taksub hingga mengkafirkan atau menyesatkan sesama Islam," katanya.

Jelas beliau, penolakan terhadap fahaman asing seperti Syiah, aliran liberal dan sekular mudah dilakukan kerana mereka sendiri tidak mahu dikaitkan dengan identiti ASWJ.

"Tetapi wujud polemik yang boleh mewujudkan perpecahan antara Salafi-Wahabi dan ASWJ kerana sistem rujukan sumber hukum yang sama, malahan masing-masing dengan tegar mendakwa merekalah kelompok ASWJ yang murni," jelas Mohamad Zaidi.

Aliran Salafi-Wahabi adalah bersifat radikal berbanding ASWJ yang sederhana, malahan pengikutnya dikatakan cenderung kepada tindak tanduk bengis dan suka mengkafirkan umat Islam lain selain diri mereka.

Golongan berkenaan mengkafirkan pengikut jemaah tabligh dan menganggap ahli tasawuf Islam sama seperti Yahudi yang perlu diperangi.

Mereka juga menganggap bidaah amalan seperti bacaan qunut ketika solat Subuh, sambutan maulidur rasul, bacaan yasin berjemaah, mengangkat tangan semasa berdoa, bacaan talkin dan majlis tahlil.

Dalam pada itu, pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Zakaria Stapa berkata, pegangan terhadap aliran ASWJ telah berjaya menyumbang kepada kedamaian dan keharmonian dalam kehidupan beragama di Malaysia.

"Dalam lain perkataan, aliran ASWJ sebagaimana yang dipegang, diamal dan dihayati di negara ini telah menjadi paksi perpaduan ummah, sehingga sejarah kita tidak pernah mencatatkan berlakunya pertumpahan darah dan huru-hara atas nama agama.

"Dengan itu, ASWJ merupakan satu aset amat bernilai yang mesti dijaga dan dipertahan sebaik mungkin walaupun terpaksa melibatkan harga yang amat tinggi demi perpaduan dan kemajuan ummah," katanya.

Bagaimanapun, ujarnya, akhir-akhir ini aliran ASWJ cuba digugat oleh pihak-pihak tertentu yang muncul dalam satu gelombang, dengan menggunakan pelbagai pendekatan dan peralatan, bertujuan untuk mengkaburkan identiti ASWJ yang sudah meresap pada asas-asas akidah, fikah, tasawuf dan sistem perundangan di Malaysia.

Katanya, tanpa disedari kurikulum Pengajian Islam di sekolah-sekolah juga sudah diresapi dengan fahaman yang bertentangan dengan ASWJ.

Beliau berkata, dalam kurikulum berkenaan terdapat fahaman Salafi-Wahabi berasaskan ajaran Ibnu Taymiyyah tentang akidah yang membahagikan konsep tauhid kepada tiga bahagian iaitu Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid al-Asma Wal Sifat.

"Keyakinan terhadap tiga jenis tauhid ini adalah bertentangan dengan ayat al-Quran dan hadis yang tidak pernah membezakan makna Rabb dengan makna Ilah.

"Terdapat beberapa implikasi yang menakutkan dari perspektif pegangan akidah hasil daripada kenyakinan terhadap tiga jenis tauhid ini termasuk kecenderungan untuk mengkafirkan sesama Islam.

"Dalam konteks semasa, umat Islam sudah tiada masa untuk berpecah dan berperang sesama sendiri atas sebab apa sekalipun, lebih-lebih lagi atas nama agama, seperti yang sedang terjadi di beberapa negara orang Islam masa kini," katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘ASWJ: Satu Kerangka Umum’.

Tambahnya, umat Islam di negara ini tidak wajar membiarkan diri mereka dipengaruhi dengan fahaman-fahaman lain sebaliknya perlu terus berpegang kepada aliran ASWJ yang telah terbukti berjaya membawa kesejahteraan.

"Pengikut aliran ASWJ meliputi 90 peratus daripada keseluruhan umat Islam di dunia masa kini dan hakikat berkenaan menunjukkan ia merupakan golongan arus perdana umat Islam sejak zaman berzaman.

"Dari sudut ini sahaja pun sudah boleh menunjukkan betapa ASWJ merupakan satu aliran atau mazhab yang ortodoks dan autentik mewakili keseluruhan ummah dengan membawa bendera kebenaran dan ketulenan ajaran Islam yang maha suci.

"Ini kerana, menjadi amat sukar diterima akal majoriti, sebegitu besar umat Islam akan bersekongkol memperakui perkara yang sesat dan tidak benar," ujar beliau.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140523/re_01/Aliran-ahli-sunnah-asas-perpaduan#ixzz34rxQksvc
© Utusan Melayu (M) Bhd

Friday, September 26, 2008

Malaysia terus gigih laksanakan syiar Islam


Datuk Dr. Abdul Monir Yaacob
Ketua Pengarah06/03/2003
Berita Harian

MENGIKUT Allahyarham Profesor Tan Sri Ahmad Mohamed Ibrahim, kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan berbanding beberapa negara Islam lain dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), tidak banyak perbezaannya.
Hanya Perlembagaan Republik Turki secara nyata meletakkan negaranya sebagai negara sekular. Ini terkandung dalam Perkara 2 yang membuat peruntukan: "The Republic of Turkey is a democratic, secular and social state." (Republik Turki ialah negara demokratik, sekluar dan sosial). Keadaan ini berlainan dengan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan, yang menyebut bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan.
Sebelum negara ini mencapai kemerdekaan, beberapa negeri Melayu seperti Johor dan Terengganu, mempunyai Perlembagaan Negeri. Contohnya, Johor memasukkan agama Islam dalam Perlembagaan Negeri bertarikh 1895. Perkara 57, Perlembagaan Negeri Johor membuat peruntukan bahawa Islam adalah agama bagi Johor dan segala jajahan takluknya. Bahkan, ada pula negeri secara khusus menetapkan mazhab yang terpakai adalah Ahli Sunnah wal-Jamaah.
Mengimbas kembali secara ringkas sejarah memartabatkan Islam dalam Perlembagaan Negara, ia adalah satu usaha gigih yang dibuat oleh kerajaan yang memerintah ketika itu selepas dipersetujui oleh kaum terbesar di negara ini. Ini diperakui Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak, dalam Perbahasan Parlimen 1977. Pelbagai tafsiran diberikan kepada Perkara 3 (1). Jika dikaji secara menyeluruh, ada beberapa peruntukan lain dalam perlembagaan yang memberi kedudukan dan taraf kepada agama Islam.
Justeru, adakah kita dikongkong untuk memahami Islam dengan apa yang dihuraikan oleh mahkamah iaitu, Islam terbatas kepada upacara semata-mata, dan anggapan bahawa negara ini sekular? Sedangkan tiada perkataan sekular dalam Perlembagaan Persekutuan berbanding Turki.
Cuma, ungkapan itu pernah timbul dalam kertas putih yang membuat perakuan mengenai kedudukan Islam dan ungkapan itu pula perlu dilihat dalam konteks sejarah.
Kedudukan Islam dalam perlembagaan boleh dilihat dari pelbagai sudut.
Selain Perkara 3, Perkara II (1) menyebut mengenai kebebasan beragama dan secara khusus Perkara II (4) mengenai mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama di antara orang yang menganuti agama Islam. Perkara 121 (1A) menyentuh kedudukan Mahkamah Syariah dalam sistem perundangan dan Perkara 12 (2) mengenai penggunaan wang dari Dana Persekutuan Yang Disatukan untuk tujuan pembangunan Islam.
Jadual Kesembilan Senarai 11 Senarai Negeri menentukan butir mengenai perkara berkaitan hal ehwal Islam, yang terletak dalam bidang kuasa negeri. Di antaranya, hukum syarak dan undang-undang diri dan keluarga orang Islam; hukum syarak berhubung pewarisan harta berwasiat dan tidak berwasiat; pembahagian harta dan amanah khairat; wakaf; zakat fitrah; baitulmal; masjid; mengadakan dan menghukum kesalahan yang dilakukan oleh orang Islam, kecuali mengenai perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan, keanggotaan dan penyusuan dan acara bagi Mahkamah Syariah, yang hanya mempunyai bidang kuasa ke atas orang Islam, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa mengenai kesalahan, kecuali setakat yang diberi oleh undang-undang Persekutuan.
Perkara 160 pula dengan jelas memberikan tafsiran Melayu bahawa orang Melayu ialah seseorang yang menganut agama Islam.
Perlembagaan adat Perkara 4 (1) yang meletakkan perlembagaan, adalah undang-undang utama mengatasi undang-undang lain. Peruntukan ini dilihat sebagai penghalang pelaksanaan Islam. Ada pendapat mengatakan, sama ada peruntukan itu benar-benar menghalang pelaksanaan Islam, pada hakikatnya, banyak tertakluk kepada tafsiran dan dasar yang dibuat bagi pelaksanaan Islam.
Perkembangan dalam pelaksanaan dasar penerapan nilai Islam berjalan dengan baik, bahkan pekeliling kerajaan mempunyai kesesuaian dengan Islam, seperti yang menyentuh etika dan nilai. Bahkan, Mahkamah Sivil memberi tafsiran positif kedudukan Islam. Ada ketikanya kes yang membabitkan muamalah diputuskan oleh Mahkamah Sivil. Timbul hasrat atau pendapat supaya satu tribunal atau mahkamah yang boleh membicarakan kes muamalah ditubuhkan. Mungkin sudah sampai masanya diadakan 'syariah bench' di Mahkamah Sivil.
Pelaksanaan Islam di Malaysia tidak semestinya dibuat berdasarkan tafsiran mahkamah. Justeru, pembangunan syiar Islam dalam aspek infrastruktur berlaku dengan pesatnya. Di sana sini tersergam masjid, pusat Islam, pejabat agama, sekolah agama dan Mahkamah Syariah. Semuanya dibekalkan dengan pegawai yang dibiaya oleh kerajaan.
Bahkan seawal tahun 1980-an ditubuhkan Bank Islam, Takaful dan pelbagai produk serta perkhidmatan Islam. Mereka yang berurusan dengan institusi itu, termasuk masyarakat bukan Islam.
Ini membuktikan rakyat negara ini dapat menikmati faedah dari pelaksanaan undang-undang Islam dalam bidang perkhidmatan dan kewangan Islam Sejak 1980-an.
Malahan, Malaysia juga kini diiktiraf pusat kewangan Islam global.
Keunikan Islam dalam perlembagaan termaktub pada peranan raja atau sultan dan Yang di-Pertuan Agong. Raja adalah ketua agama Islam seperti yang dinyatakan di bawah Perkara 3 (2), (3) dan (5). Hal ehwal agama Islam pula, secara amnya, terletak pada negeri, kecuali Wilayah Persekutuan pada Pusat/Parlimen.
Beberapa perkembangan ke arah perubahan yang boleh meningkatkan Islam dan hukum syarak sedang berlaku di negara ini.
Di antara perubahan itu ialah mengemas kini dan menyeragamkan undang-undang yang ditadbirkan oleh Mahkamah Syariah; mengadakan dasar guna sama pegawai dan hakim Mahkamah Syariah; menubuhkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia; menubuhkan Jabatan Mufti serta melengkapkan jabatan itu dengan pegawai.
Dalam usaha untuk menaiktarafkan Mahkamah Syariah dan perkembangan hukum syarak, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil. Sebuah unit telah ditubuhkan bagi tujuan itu di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Kesimpulannya, tanggapan bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak memberi ruang kepada perkembangan Islam dan perundangannya, adalah tidak tepat.
Ini kerana kita dapat melihat perubahan ke arah penerapan dasar-dasar Islam sedang berlaku secara teratur dan harmoni. Keadaan ini tidak menimbulkan keresahan kepada mana-mana pihak dan diterima dengan baik.

Thursday, September 25, 2008

PELAKSANAAN UNDANG-UNDANG ISLAM DI MALAYSIA:REALITI DAN CABARAN

OlehSuwaid Tapah

1.LATAR BELAKANG
Pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia kini, harus difahami berdasarkan perkembangan perundangan negara terutama zaman sebelum merdeka iaitu zaman penjajahan Inggeris. Pengalaman-pengalaman mereka menjajah negara ini dan seterusnya memperkenalkan beberapa statut atau undang-undang bertulis dimana sebahagiannya telah dikekalkan hingga ke hari ini juga harus diteliti kerana ia mempunyai hubungan dalam konteks perkembangan pentadbiran undang-undang Islam. Beberapa istilah berkaitan misalnya istilah “undang-undang Islam” dan istilah “pentadbiran” undang-undang itu sendiri ada hubungan dengan perlaksanaan undang-undang itu sendiri.
Secara umum, istilah “pentadbiran” undang-undang lebih hampir kepada urusan siyasah yang membawa maksud bagaimana mengurus sesuatu perkara yang merujuk kepada kehendak dan kepentingan masyarakat itu sendiri atau dengan perkataan lain difahami sebagai “kuasa budibicara melalui autoriti pemerintah yang dibuat secara rasmi”(1). Peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan itu membawa kebaikan jika dirujuk berdasarkan semangat atau ruh Syariat itu sendiri. Sebab itu, realitinya peruntukan undang-undang yang digubal semasa penjajahan Inggeris berkaitan dengan pentadbiran hukum Syarak di negara ini sebahagiannya telah dilanjutkan selepas merdeka hingga kini meskipun konsep atau niat asal penggubalan undang-undang tersebut lahir secara kebetulan semata-mata untuk menjaga kepentingan atau maslahah masyarakat yang mereka tadbir.
Sebagaimana dimaklumi, penjajahan Inggeris di Tanah Melayu bermula di negeri-negeri yang dikategoriikan sebagai Negeri-negeri Selat dan kemudiannya di Negeri-negeri Melayu yang lain yang diistilahkan sebagai negeri-negeri Melayu Bersekutu dan negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu. Sejarah menukilkan bahawa sebahagian kuasa pentadbiran mereka ditentukan melalui autoriti Sultan sebagai ketua negeri dan ketua agama di negeri masing-masing dan kuasa eksekutif di tangan mereka. Ini boleh dilihat selepas Perjanjian Pangkor 1874(2) dan kemudiannya banyak mempengaruhi sistem pemerintahan negara ini selepas merdeka termasuk undang-undang pentadbiran hal ehwal Islam di negeri-negeri. Pengalaman dan kecekapan pentadbiran mereka amat berkesan sekali mempengaruhi perkara-perkara yang berkaitan dengan pentadbiran hal ehwal agama Islam sehingga ke hari ini. Umum memahami bahawa antara perkara dipersetujui dalam perjanjian tersebut ialah mereka tidak mencampuri dalam urusan hal ehwal agama Islam. Namun, hampir kesemua negeri-negeri Melayu mempunyai suatu undang-undang pentadbiran agama Islam yang hampir seragam yang ditumpukan kepada soal undang-undang diri bagi orang-orang Islam di negeri masing-masing misalnya undang-undang pendaftaran perkahwinan dan perceraian orang-orang Islam (3), dan undang-undang penubuhan dan bidang kuasa Mahkamah Kadi.(4) Mereka beranggapan bahawa mereka tidak mencampuri urusan agama tetapi sebagai pihak yang mempunyai kuasa eksekutif yang mutlak maka adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk menjaga kepentingan awam tanpa mengira agama. Sebab itu, mereka berjaya memperkenalkan undang-undang pentadbiran bagi tujuan penyelarasan semua undang-undang yang mereka perkenalkan. Malah, dalam soal yang menyentuh secara spesifik tentang hukum Syarak iaitu dalam menentukan tafsiran sesuatu perkara itu sebagai hukum Syarak atau adat Melayu dimana mempunyai hubungkait dengan soal keterangan atau persoalan yang tidak jelas, maka peraturan bertulis diperkenalkan(5) bagi memberi kuasa kepada Majlis Negeri (State Council) mengesahkan sesuatu perkara yang dibangkitkan itu sama ia releven dengan hukum Syarak atau adat Melayu. (6)
Secara umum, pada fasa pemerintahan mereka, undang-undang substantif yang diperkenalkan boleh dibahagikan kepada tiga iaitu undang-undang keluarga, harta dan kesalahan-kesalahan terhadap agama. Pertama, kandungan undang-undang keluarga meliputi perkara yang berkaitan dengan permulaan kepada perkahwinan misalnya pertunangan dan mungkir janji pertunangan, mahar; semasa akad misalnya soal wali dan sebagainya; perceraian misalnya talak biasa, khul` dan fasakh. Sementara kedua, perkara yang berkaitan dengan harta adalah tertumpu kepada harta pusaka, wasiat dan harta wakaf orang-orang Islam yang banyak berkaitan dengan undang-undang bertulis lain dan bukan perkara yang berkaitan dengan pentadbiran hal ehwal Islam misalnya Ordinan Harta Pusaka Kecil (Pembahagian)(7) dimana kuasa diberikan kepada Pegawai Pemungut Hasil Tanah untuk mentadbir serta menyelesaikan pertikaian, dan sebarang rayuan mengenai pertikaian berkenaan akan dibuat di Mahkamah Sivil (Mahkamah Tinggi). Hingga kini, pertikaian kes berkenaan dibuat di Mahkamah Sivil dimana biasanya hukum Syarak akan diambil kira jika tidak menyentuh undang-undang bertulis atau selaras dengan undang-undang bertulis yang dipakai.(8) Ketiga, perkara yang berkaitan dengan kesalahan terhadap agama yang bermula dari kesalahan-kesalahan misalnya tidak mendaftarkan perkahwinan dan perceraian, mengakadnikah tanpa kebenaran atau tidak mengikut undang-undang hinggalah kepada kesalahan-kesalahan yang berkaitan dengan moral misalnya melakukan zina, khalwat, meminum minuman keras serta hal-hal yang menyentuh akidah misalnya tidak bersolat Jumaat tanpa uzur, tidak membayar zakat, tidak berpuasa pada bulan Ramadhan dan seumpamanya.
Kecekapan mereka memperkenalkan sistem perundangan menerusi penubuhan Majlis Negeri yang bertindak sebagai badan pemutus tindakan-tindakan eksekutif disamping berfungsi sebagai badan yang mengesahkan sesuatu tindakan menerusi statut-statut bertulis yang diperkenalkan dan prinsip “duluan mengikat”(9) banyak mempengaruhi tafsiran status dan rujukan hukum Syarak atau undang-undang Islam jika kes berkenaan dibicarakan di Mahkamah Sivil. Tambahan pula, pemakaian undang-undang lazim Inggeris (English common law) dan peraturan ekuitinya yang dikuatkuasakan di Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1937 melalui Enakmen Undang-undang Sivil dan diluaskan ke negeri-negeri lain pada tahun 1951 dan dikenali kemudiannya sebagai Ordinan Undang-undang Sivil 1956(10) telah dengan sendirinya mengukuhkan pentadbiran undang-undang sivil dan sedikit sebanyak menyempitkan tafsiran undang-undang Islam. (11)
Kes-kes yang diputuskan semasa penjajahan yang melibatkan soal adat Melayu dan hukum Syarak juga mempengaruhi peruntukan-peruntukan perlembagaan yang digubal kemudiannya dan seterusnya memberi kesan kepada perkembangan pentadbiran hal ehwal Islam di negara ini. Biasanya hakim-hakim Inggeris tidak dapat membezakan antara perkara hukum Syarak dan adat Melayu atau adat Melayu yang selaras dengan hukum Syarak atau sebaliknya. Boleh disimpulkan bahawa kebanyakan penghakiman dibuat banyak mengambilkira aspek prosedural dan aspek keterangan yang jika dipenuhi maka barulah mengambilkira hukum Syarak atau yang diistilahkan sebagai undang-undang Islam.(12) Boleh dikatakan semua kes yang diputuskan yang berkaitan dengan pemakaian undang-undang Islam melibatkan kes-kes sivil yang secara relatifnya boleh ditafsirkan sebagai perkara yang mempunyai hubungkait dengan undang diri bagi orang-orang yang menganut agama Islam(13) dan tidak sama sekali melibatkan undang-undang jenayah awam.(14) Malah, kesalahan-kesalahan yang ada ditafsirkan sebagai kesalahan agama atau kesalahan melanggar peruntukan undang-undang pentadbiran agama. Sebab itu, meskipun dalam sejarah penghakiman mereka di Tanah Melayu ada dicatitkan yang undang-undang Islam bukan undang-undang asing tetapi sebagai undang-undang negeri, sebenarnya ia hanya merujuk kepada undang-undang diri.(15) Pengalaman-pengalaman ini(16) adalah selaras dengan laporan Suruhanjaya yang mencadangkan apakah bentuk dan kandungan Perlembagaan Persekutuan yang sesuai kepada sebuah negara yang akan merdeka pada tahun 1957 itu.
2.TAKAT KUASA KERAJAAN NEGERI DALAM MENTADBIR HAL EHWAL AGAMA ISLAM
Perlembagaan Persekutuan dianggap sebagai undang-undang tertinggi negara.(17) Dari segi definisi, perlembagaan merupakan suatu himpuan peraturan tertinggi yang telah dipersetujui bersama dan maksud setiap peruntukan memberi manfaat kepada warga selain memasyurkan sebagai sebuah negara merdeka.. Pembebasan sesebuah tanah jajahan seperti Malaysia dan pembentukan sesebuah negara moden biasanya ditanda oleh pembentukan sebuah perlembagaan bertulis.
Keistimewaan Perlembagaan Persekutuan ialah dengan memasukkan empat elemen tradisi dimana antaranya(18) ialah agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan,(19) serta kedudukan dan keistimewaan Raja-raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam dalam negeri sebagaimana diakui dan diisytiharkan oleh Perlembagaan Negeri. Tertakluk kepada Perlembagaan Negeri, segala hak, keistimewaan dan kedaulatan dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai Ketua Agama Islam tidak tersentuh dan tercacat, tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan dan upacara yang telah dipersetujui oleh Majlis Raja-raja adalah meliputi seluruh Persekutuan, maka atas sifat Raja sebagai ketua Agama Islam membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakilinya.(20) Perlembagaan-perlembagaan bagi negeri-negeri yang tidak beraja (Melaka, Pulau Pinang, Sabah(21) dan Sarawak) hendaklah membuat peruntukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri itu.(22) Yang di-Pertuan Agong juga menjadi Ketua Agama Islam bagi Wilayah-wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) dimana Parlimen diberi kuasa untuk membuat undang-undang mengenai pentadbiran hal ehwal Islam dan penubuhan Majlis Agama untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara-perkara berhubung dengan agama Islam. (23)
Bertitik tolak dari semangat Perkara 3 (1-5), maka perkara-perkara lain berkaitan mempunyai hubungan dengan pentadiran hal ehwal agama Islam misalnya penubuhan Majlis/Jabatan Agama Islam di negeri-negeri, Jabatan Mufti, Mahkamah Syariah dan lain-lain.(24) Selaras dengan tuntutan semasa untuk memperkemaskan pentadbiran hal ehwal Islam, kerajaan-kerajaan negeri telah mula mengasingkan tiga institusi penting iaitu Majlis /Jabatan Agama, Jabatan Mufti dan Mahkamah Syariah apabila undang-undang induk (pentadbiran hukum Syarak) dipinda dengan memperuntukkan fungsi Majlis secara jelas iaitu membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong/Sultan berkenaan dengan semua perkara yang berhubung dengan agama Islam di dalam negeri kecuali perkara-perkara hukum Syarak iaitu penubuhan Jabatan Mufti dan yang berhubung dengan pentadbiran keadilan iaitu penubuhan Mahkamah Syariah, dan. Majlis Agama negeri menjadi pihak berkuasa utama di dalam negeri masing-masing. (25)
Apa yang perlu difahami ialah dalam perkara yang berkaitan dengan pentadbiran hal ehwal agama Islam, Perlembagaan Persekutuan juga telah memberi kuasa kepada Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang yang berkaitan dengan pentadbiran hal ehwal Islam di negeri masing-masing termasuk di Wilayah-wilayah Persekutuan. Apa yang menarik perhatian ialah di Wilayah-wilayah Persekutuan, undang-undang yang berkaitan dengan pentadbiran undang-undang Islam adalah diluluskan oleh Parlimen yang juga berfungsi sebagai Badan Perundangan Persekutuan. Namun, perlu difahami bahawa status undang-undang yang berkaitan dengan pentadbiran hal ehwal agama atau hukum Syarak hanya berkuat kuasa di dalam Wilayah-wilayah Persekutuan sahaja dan sama seperti undang-undang Islam yang digubal di negeri-negeri (dalam Jadual Kesembilan Senarai 2 Senarai Negeri Butiran 1). Kuasa tersebut dibuat dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Jadual Kesembilan Senarai 1 Senarai Persekutuan Butiran 4 (k) yang memperuntukkan bahawa “Undang-undang dan acara sivil dan jenayah dan pentadbiran keadilan termasuk menentukan Hukum Syarak(26) dan lain-lain undang-undang diri bagi maksud undang-undang Persekutuan.”(27) Malah, dalam Perkara 3 (5) Perlembagaan Persekutuan dimana peruntukan dibuat bagi memberi kuasa kepada Parlimen untuk membuat undang-undang mengenai pentadbiran hal ehwal Islam dan penubuhan Majlis Agama Agama Islam.
Kerajaan-kerajaan negeri tidak mempunyai bidang kuasa mengenai kesalahan-kesalahan kecuali setakat yang diberi oleh undang-undang Persekutuan iaitu peruntukan hukuman bagi kesalahan-kesalahan termasuk kesalahan jenayah Syariah untuk seluruh Persekutuan,(28) namun peruntukan yang diluluskan hanya berkuatkuasa di negeri-negeri jika Badan Perundangan Negeri menggubal atau meminda undang-undang kesalahan jenayah Syariah di negeri masing-masing supaya selaras dengan peruntukan berkenaan. Badan Perundangan Negeri tidak diberi kuasa menggubal suatu peruntukan yang melebihi daripada peruntukan berkenaan dan harus mengambikira perkara 75 Perlembagaan Persekutuan. (29)
Kerajaan-kerajaan negeri yang lain juga diberi kuasa untuk menggubal undang-undang yang berkaitan dengan hal ehwal agama Islam di bawah Jadual Kesembilan Senarai 2 Senarai Negeri
Butiran 1 memperuntukkan:
• Hukum Syarak dan Undang-undang diri dan keluarga bagi orang-orang yang menganut agama Islam, termasuk hukum Syarak yang berhubung dengan mewarisi harta berwasiat dan tak berwasiat, pertunangan, perkahwinan, perceraian, maskawin, nafkah, pengambilan anak angkat, taraf anak, penjagaan anak, pemberian, pembahagian harta dan amanah bukan khairat;
• Wakaf Islam dan takrif serta peraturan mengenai amanah khairat dan khairat agama, perlantikan pemegang-pemegang amanah dan perbadanan bagi orang-orang mengenai pemberian agama Islam dan khairat, yayasan, amanah, khairat dan yayasan khairat yang dijalankan;
• Zakat fitrah dan Baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamanya; (30)
• Masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam;
• Mengadakan atau menghukum kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh orang-orang yang menganut agama Islam terhadap rukun-rukun Islam, kecuali perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan;
• Keanggotaan, penyusunan dan acara bagi mahkamah-mahkamah Syar`iyyah, yang akan mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang-orang yang menganut agama Islam dan hanya mengenai mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa mengenai kesalahan-kesalahan kecuali setakat yang diberi oleh undang-undang Persekutuan;
• Mengawal pengembangan iktikad dan kepercayaan antara orang-orang yang menganut agama Islam;
• Menentukan perkara-perkara Hukum Syarak dan iktikad dan adat istiadat Melayu.
3.CABARAN PELAKSANAAN UNDANG-UNDANG ISLAM
- Peringkat Persekutuan
Selepas Merdeka, usaha-usaha di peringkat Persekutuan telah dibuat untuk menyeragamkan pentadbiran undang-undang Islam. Penubuhan Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKHEIM) yang dipersetujui oleh Majlis Raja-raja Melayu (MRR) dan urusetianya ialah Bahagian Ugama di Jabatan Perdana Menteri yang kini dikenali sebagai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Antara fungsi Majlis ini ialah “memberi nasihat kepada Majlis Raja-raja, kerajaan-kerajaan negeri atau Majlis Agama Islam negeri atau apa-apa perkara berkenaan perundangan atau pentadbiran agama Islam dan pelajaran agama Islam dengan tujuan hendak memperbaiki, menyamakan atau menggalak persamaan undang-undang atau pentadbiran.”(31) Untuk tujuan itu, beberapa jawatankuasa telah ditubuhkan di bawah urusetia dan termasuklah Jawatkuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan lain-lain. Sejauh penelitian, penubuhan MKHEIM dan JAKIM adalah selaras dengan kehendak peruntukan Perlembagaan Persekutuan Perkara 38 (2) (b) (c) yang menjelaskan tugas-tugas MRR antara lain ialah “mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama meliputi seluruh Persekutuan” dan “mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa undang-undang dan membuat dan memberi nasihat mengenai apa-apa perlantikan yang menurut Perlembagaan ini, memerlukan persetujuan MRR atau yang dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan MRR”
Walau bagaimanapun, sebagaimana dijelaskan bahawa kuasa untuk menggubal undang-undang Islam adalah di bawah kuasa kerajaan-kerajaan negeri termasuk juga di Wilayah-wilayah Persekutuan, maka usaha-usaha penyeragaman di peringkat kebangsaan adalah bergantung kepada kuasa budibicara kerajaan-kerajaan negeri. Pihak yang bertindak sebagai urusetia sebenarnya tidak mempunyai kuasa eksekutif untuk menentukan kerajaan-kerajaan negeri mengikuti model atau syor penyeragaman yang telah disediakan itu. Sebaliknya kerajaan-kerajaan negeri walaupun sedia menerimapakai suatu model undang-undang yang sepatutnya diterimapakai, tetapi tiada halangan dari sudut perundangan bagi pihak kerajaan-kerajaan negeri meminda mana-mana peruntukan dalam undang-undang yang disyorkan itu terutama bagi kesesuaian di negeri masing-masing. Sebab itu, sekali lagi mutakhir ini suatu penyelarasan menyeluruh cuba dibuat dengan memperkenalkan undang-undang keluarga yang baru. Di bawah undang-undang yang baru ini, tiada banyak perubahan yang dipinda kecuali yang paling ketara iaitu soal poligami iaitu memberi kuasa kepada mahkamah memanggil wali, isteri yang sedia ada dan lain-lain yang berkenaan hadir di Mahkamah untuk memberi keterangan serta permohonan pihak-pihak untuk membahagikan apa-apa harta atau aset yang dikumpulkan dalam tempoh perkahwinan setelah Mahkamah membenarkan permohonan suami. Sehingga kini, hanya beberapa buah negeri sahaja yang mengemukakan deraf undang-undang berkenaan untuk diluluskan oleh Badan Perundangan Negeri.(32) Sebagaimana dijelaskan, tiada halangan bagi sesetengah negeri membuat pindaan terhadap deraf undang-undang yang kemudiannya diluluskan itu. (33)
Usaha meminda beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan juga misalnya peruntukan "Perkara 121 (1A)" (34) merupakan satu usaha untuk menjelaskan bidang kuasa Mahkamaha Syariah dan Mahkamah Sivil. Menjadi satu cabaran kepada kerajaan-kerajaan negeri untuk menggubal undang-undang tertentu yang memberi kuasa yang jelas dan eksklusif kepada Mahkamah Syariah setakat yang dibenarkan Perlembagaan.
Begitu juga dalam konteks selain undang-undang yang diistilahkan sebagai “undang-undang diri”, pengaruh ajaran Islam atau hukum-hukum Islam telah mula mendapat tempat dan secara langsung dapat membantu ke arah pelaksanaan undang-undang Islam yang menyeluruh misalnya dalam sistem perbankan, takaful dan pajak gadai. (35)
-Peringkat Kerajaan Negeri
Mulai awal tahun 1980-an, kerajaan-kerajan negeri mula mengasingkan perkara yang berkaitan dengan undang-undang keluarga daripada undang-undang induk dengan menggubal undang-undang keluarga Islam yang baru (36) sebagaimana yang disyorkan di peringkat kebangsaan. Undang-undang baru ini dikatakan banyak mengandungi pembaharuan misalnya mengenai kesalahan-kesalahan matrimoni, peraturan-peraturan berpoligami, soal perceraian di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah dan lain-lain. Perkembangan yang positif ini dilihat sebagai usaha kerajaan Persekutuan mengatasi sesetengah rungutan masyarakat Islam di dalam negara tentang perlunya pembaharuan dalam pentadbiran undang-undang Islam terutama undang-undang keluarga yang dikatakan tidak memberi keadilan kepada wanita dan seringkali Mahkamah Syariah akan menjadi sasaran kritikan kerana dikatakan berat sebelah memberi keadilan kepada pihak-pihak yang bertikai. (37)
Sebagaimana dijelaskan, dari segi pentadbiran, tindakan sudah dibuat untuk memisahkan antara Mahkamah Syariah yang disebut sebagai institusi yang mentadbir keadilan dan Majlis Agama sebagai pihak berkuasa utama selepas Ketua Agama Islam dalam hal ehwal agama Islam dan Jabatan Kemuftian bertanggungjawab mentafsirkan dalam perkara yang diklasifikasikan sebagai hukum Syarak. (38)
Dalam hal atau perkara yang berkaitan dengan hukum Syarak, sesetengah negeri cuba melakukan sendiri pindaan-pindaan dengan memanfaatkan peruntukan-peruntukan di negeri-negeri lain yang dianggap terkehadapan dan negeri-negeri berkenaan sedang atau akan berhadapan dengan masalah yang sama. Sebagai contoh, dalam perkara status pemelukan Islam dalam kes percubaan keluar agama(39) dan isu mengenai anak yang masih di bawah umur 18 tahun. Merujuk beberapa kes yang diputuskan di Mahkamah Sivil dimana mahkamah ini tidak ada bidang kuasa dalam menentukan status akidah seseorang,(40) malah sebaliknya, ia menjadi kuasa badan perundangan negeri menggubal undang-undang dan memberi bidang kuasa kepada Mahkamah-mahkamah Syariah untuk mendengar dan memutuskan tindakan cuba keluar agama(41) atau status anak bawah umur di bawah penjagaan seseorang. Misalnya peruntukan yang jelas dibuat oleh sesetengah negeri yang menyebut bahawa seseorang yang didaftarkan memeluk agama Islam hendaklah bagi semua maksud termasuk mana-mana undang-undang Persekutuan atau negeri dan untuk semua masa diiktiraf sebagai seorang Islam dan jika apa-apa soal timbul di dalam negeri sama ada seseorang itu telah memeluk Islam dan orang itu tidak didaftarkan dalam daftar memeluk Islam atau tidak didaftarkan di bawah mana-mana undang-undang negeri sebagai orang yang telah memeluk Islam, maka soal itu hendaklah diputuskan oleh Mahkamah Syariah(42) berdasarkan kepada hukum Syarak. Jika pada saat ia memeluk Islam, seseorang itu sama ada lelaki atau perempuan ada mempunyai anak kandung atau anak angkat yang belum mencapai umur baligh mengikut hukum Syarak, maka kanak-kanak yang berada di dalam jagaannya hendaklah dianggap telah memeluk Islam. (43)
Terdapat juga negeri cuba memanfaatkan kuasa yang diberi oleh Perlembagaan dengan menggubal undang-undang baru(44) atau mengembangkan undang-undang induk yang sedia ada bagi memantapkan pentadbiran. (45)
Kebanyakan negeri telah menyelaraskan peruntukan hukuman sebagaimana ditetapkan dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1984 (Pindaan) dengan beberapa peruntukan dalam Akta/Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri termasuklah hukuman sebat bagi kesalahan melibatkan akidah dan kesusilaan. Umumnya, dari sudut kategori kesalahan adalah hampir sama iaitu kesalahan yang berhubung dengan akidah, kesucian agama dan institusinya, kesusilaan, kesalahan pelbagai dan lain-lain. Walau bagaimanapun, dalam perkara yang berkaitan dengan pentadbiran undang-undang jenayah masih memerlukan kepada penelitian yang menyeluruh terutama dari segi hukuman yang diperuntukkan. menggambarkan ketidakselarasan penggubalan undang-undang bagi kesalahan jenayah Syariah antara negeri-negeri. (46)
Manakala penggubalan undang-undang berkaitan lain misalnya undang acara mal Syariah dan acara jenayah Syariah, umumnya hampir seragam kecuali dari aspek pentadbiran lain misalnya undang-undang pentadbiran Mahkamah Syariah dimana dari aspek takat bidangkuasa mal Mahkamah Syariah (Mahkamah Rendah Syariah dan Mahkamah Tinggi Syariah) ada yang tidak selaras di antara satu negeri dengan negeri yang lain. (47)
Secara umum dapatlah dibuat penelitian awal dalam perbincangan mengenai pelaksanaan undang-undang Islam iaitu masih banyak lagi halangan-halangan yang perlu ditangani terutama dari sudut mekanisme pentadbiran undang-undang tersebut misalnya pelantikan hakim-hakim, bidang kuasa mahkamah yang terhad, tiada panduan penjelasan kepada peruntukan undang-undang yang umum, prosedur yang tidak lengkap, pertindihan dengan undang-undang lain, pelaksanaan perintah, tafsiran peruntukan yang berbeza, masalah penyelarasan dan kerjasama negeri atau pihak berkuasa dan lain-lain. (48)

4.KESIMPULAN
Secara umum, dapatlah disimpulkan bahawa negara ini telah melaksanakan sebahagian undang-undang Islam. Dengan aspek tertentu, negeri-negeri dalam Persekutuan telah melaksanakan undang-undang-undang Islam. Undang-undang Islam yang ditadbir terus berkembang berbanding sebelum negara mencapai kemerdekaan. Banyak pembaharuan telah dilakukan oleh pihak berkuasa agama sama ada di peringkat Persekutuan mahupun di peringkat kerajaan-kerajaan negeri selaras dengan perkembangan masyarakat Islam di negara ini. Dari semasa ke semasa beberapa pindaan dibuat oleh Badan Perundangan Negeri masing-masing selaras dengan kepentingan dan untuk kebaikan masyarakat sejauh yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Usaha-usaha untuk menyelaraskan pentadbiran undang-undang Islam di negeri-negeri sedang dan terus dijalankan. Sebagai sebuah negeri dalam Persekutuan harus mengambilkira kehendak Perkara 38 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan untuk dilaksanakan oleh negeri-negeri masing-masing.
RUJUKAN
# P.hD, Prof.Madya di Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Kertas ini dibentangkan di Seminar Hukum Islam di Malaysia, anjuran Kolej Islam Antarabangsa Islam Sultan Ismail Petra (KIAS), Kelantan pada 1 Mac 2004.
Lihat pengertian istilah berkenaan dalam The Encyclopedia of Islam, vol.ix, 693.
Perbincangan lanjut mengenai penjanjian dan kesan perjanjian terhadap kedaulatan dan status Islam, lihat M.B.Hooker, Islamic Law in South-East Asia. Singapore: Oxford University Press, 1984, h.131-135.
Lihat misalnya, Enakmen Pendaftaran Perkahwinan dan Perceraian Orang-orang Islam (Muhammadan Marriage and Divorce Registration Enactment), Selangor (No.1/1930); Enakmen Perkahwinan (Perceraian) Orang-orang Islam (Muhammedan Marriages (Separations) Enactment), Kedah [No.68, Semakan (revised law) bertarikh 30 Rabiulawwal 1353/13 Julai 1934 dan lain-lain. Enakmen Pendaftaran Perkahwinan dan Perceraian Orang-orang Islam, Johor 1914; Enakmen Perkahwinan dan Perceraian Orang-orang Islam, Kelantan 1938. Peruntukan-peruntukan berkenaan telah diubahsuai dan dimasukkan dalam enakmen induk atau Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam selepas merdeka dan mulai tahun 1980an, peruntukan-peruntukan berkaitan diasingkan dan digubal Enakmen Pentadbiran Undang-undang Keluarga Islam di negeri-negeri.
Lihat misalnya, Enakmen Mahkamah-mahkamah Syariah Kedah [No.109, Semakan bertarikh 30 Rabiulawwal 1353; Enakmen Mahkamah-mahkamah Syariah Perlis (No.5/1340) dan lain-lain.
Lihat Enakmen Mengesahkan Undang-undang Islam.
Lihat misalnya, Muhammadan Law and Malay Custom (Determination) Enactment (No.4/1930) kemudiannnya - dalam Fasal 196 Undang-undang Semakan F.M.S 1935; Muhammadan Law Determination Enactment No.27/1919 dan kemudiannya No.48/1935, di Johor.
No.34/1955
Cf. kes-kes Re Man bin Mahat decd. .[1965] 2 M.L.J 1. dan Re Bahadun bin Hj.Hassan decd..[1974] 1 MLJ 14; Re Dato’ Bentara Luar (Si Mati) [1982] 2 MLJ 264; Shaik Abdul Latif dan Lain-lain lawan Sheikh Elias Bux (1922) 1 FMSLR 204; Commissioner for Religious Affairs, Terengganu lawan Tengku Mariam [1969] 1 MLJ 110, rayuan [1971] 1 MLJ 222; Jumaaton dan seorang lagi lawan Raja Hizaruddin [1998] 6 MLJ 556
Lihat Wu Min Aun, The Malaysian Legal System. Malaysia: Addison Wesley Longman Malaysia Sdn. Bhd, edisi kedua, h.119-123.
No.5/1956
Sila rujuk seksyen 3 Ordinan berkenaan.
Lihat misalnya kes Ramah lawan Laton 6 (1927) FMSLR 128.
Sila rujuk penghakiman dalam beberapa kes yang diputuskan mengenai status undang-undang Islam sebagai undang-undang diri dan kes-kes ini mengikat mereka untuk mentafsir status undang-undang Islam dalam kes-kes berikutnya. Lihat misalnya, kes Ong Cheng Neo lawan Yap Kwan Seng (1897) 1 SSLR. Supp. 1 dan kes Shaik Abdul Latif & Lain-lain lawan Shaik Elias Bux (1922) 1 FMSLR 214.
Kedudukan ini telah dengan sendirinya dicatitkan dalam Perlembagaan Persekutuan dalam Jadual 9 Senarai 1 Senarai Persekutuan yang memberi kuasa kepada Parlimen untuk mengubal undang-undang yang berkaitan dengan jenayah bagi maksud pemakaiannya meliputi seluruh negeri (Persekutuan) seperti Kanun Keseksaan dan Kanun Prosedur Jenayah dll.
Ibid..
Kehebatan mereka ialah mereka dapat menjalankannya dengan baik, mempunyai rekod pentadbiran dan termasuklah rekod-rekod kes yang diputuskan diterbitkan sebagai rujukan. Lihat kajian yang dibuat oleh Datin Shaikha Zakaria, “Sources and Literature of Malaysian Law”, 14 [1987] Journal of Malaysian and Comparative Law, pp.109-155. C JMCL
Lihat Perkara 4 (1), Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi: “Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu”.
Dua yang lain ialah keistimewaan orang-orang Melayu [Perkara 89 & 153] dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan [Perkara 152]
Dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan [Perkara 3 (1)]
Perkara 3 (2)
Lihat misalnya, pindaan Perlembagaan Negeri Sabah dalam Fasal 5 A, B (1)(2) yang memperuntukkan agama Islam sebagai agama negeri dan kuasa-kuasa Dewan Perundangan Negeri. Lihat Pindaan Enakmen No.8/1985 (berkuatkuasa pada 31.12.1985)
Perkara 3 (3)
Perkara 3 (5)
Sila rujuk Ahmad Ibrahim dan Ahilemah Joned, The Malaysian Legal System. Kuala Lumpur: DBP, 1995, edisi semakan, h.43-62.
Lihat misalnya, Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Melaka) No.5/1991, s.27; Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam Sabah (No.13/1992) s.32; Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) No.1/1991, s.27; Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam Selangor (No.2/1989), s.28 dan Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) [Akta 505], s.31.
Lihat Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993; Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559]; Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 560]; Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 561]
Lihat Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303].
Lihat Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dan pindaan 1984 yang memberi kuasa kepada negeri-negeri mengadakan hukuman bagi kesalahan jenayah iaitu penjara tidak melebihi 3 tahun atau denda tidak melebihi RM5000 atau sebatan tidak melebihi 6 sebatan atau mana-mana kombinasi daripada hukuman tersebut..
“Jika mana-mana undang-undang negeri adalah berlawanan dengan sesuatu undang-undang Persekutuan, maka undang-undang Persekutuan itu hendaklah dipakai dan undang-undang negeri itu hendaklah terbatal, setakat mana ianya berlawanan dengan undang-undang Persekutuan itu”
Sebahagian peruntukan berkaitan digubal dalam Enakmen/Ordinan Pentadbiran Hukum Syarak negeri-negeri kecuali di Negeri Kedah mempunyai institusi yang berasingan untuk mentadbir zakat di bawah undang-undang zakat yang berasingan daripada undang-undang induk. Lihat Enakmen Zakat Kedah (1374) (No 4/1955)
Penubuhan Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam Malaysia dan fungsi-fungsinya dijelaskan oleh Othman Haji Ishak, Fatwa dalam Perundangan Islam. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd, 1981, h.58-60
Lihat Ordinan Undang-undang Keluarga Islam, Sarawak (Bab 43, 2001); Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) (No.12/2002).
Misalnya, di Melaka (Enakmen No.12/2002) peruntukan yang menyentuh tentang poligami di bawah seksyen 23 dan di Sarawak, Ordinan Sarawak (Bab 43, 2001) memperuntukkan dalam seksyen 21. Di Sarawak, tiada peruntukan yang jelas perkara yang berkaitan harta sepencarian boleh dituntut oleh pihak-pihak setelah Mahkamah membenarkan poligami itu, tetapi dalam perkara lain menyentuh soal wasiat bagi anak yang dijadikan sebagai anak angkat sebagaimana diperuntukkan dalam seksyen 125 Ordinan ini.
Ahmad Ibrahim, “The Amendment to Article 121 of the Federal Constitution” [1989] 2 M.L.J. xvii.
Sila rujuk tulisan Tan Sri Ahmad Ibrahim, “The Influence of Islam on Law in Malaysia”, Seminar on the Role and Influence of Religions in Society (13-16 September 1993: Kuala Lumpur). BL60 SRIRS
Enakmen Keluarga Islam, Kelantan (No.1/1983); Enakmen Undang-undang Keluarga Islam, Negeri Sembilan (No.7/1983); Enakmen Keluarga Islam Melaka, No. 8/1983; Enakmen Keluarga Islam, Kedah 1979 (Bil.1/1984); Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah-wilayah Persekutuan, 1984 [Akta 303]; Enakmen Undang-undang Keluarga Islam, Perak (Bil.13/1984); Enakmen Undang-undang Keluarga Islam, Selangor (No.4/1984); Enakmen Undang-undang Keluarga Islam, Pulau Pinang (Bil.2/1985); Enakmen Undang-undang Pentadbiran Keluarga Islam Terengganu, (Bil.12/1985); Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Johor, (No. 5/1990); Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Pahang, (No. 3/ 1991); Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Perak, (Bil. 13/1991); Ordinan Undang-undang Keluarga Islam, Sarawak (No.5/1991); Enakmen Undang-undang Keluarga Islam, Sabah (No.15/1992); Enakmen Pentadbiran Undang-undang Keluarga Islam, Perlis (Bil.4/1992)
Lihat misalnya, Ahilemah Joned, “Keupayaan dan Hak Wanita Islam untuk Berkahwin: Indah Khabar daripada Rupa”, Makalah Undang-undang menghormati Ahmad Ibrahim. KL. DBP, 1988, h.1-41, dll.
Dalam perkara fatwa, cadangan dibuat supaya fatwa yang dikeluarkan hendaklah dipakai atau mengikat mahkamah (Mahkamah Sivil) jika perbicaraan itu memerlukan penjelasan dalam perkara yang berkaitan dengan hukum Syarak. Lihat Zainur Zakaria “The Determination of Questions of Islamic Law or Hukum Syarak by the Civil Court and the Admissibility of Expert. Opinion”, (1995) 24 INSAF 98, h.98-103.
Sila rujuk Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan memeluk dan mengamalkan sesuatu agama sebagai kebebasan asasi.
Lihat misalnya ulasan Mahkamah Sivil dalam kes Mohamed Habibullah lawan Faridah [1992] 2 MLJ 793 dan kes Md.Hakim Lee lawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan [1998] 1 MLJ 681 tentang status mereka yang cuba keluar agama.
Lihat artikel saya bertajuk “Pemelukan Islam: Perbincangan daripada Perspektif Undang-undang di Malaysia”, (1996) 4 Jurnal Syariah (1), h.107-123. Di bawah Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Bil.4/1994), s.103 (1-2) memperuntukkan bahawa permohonan boleh dibuat dan sebelum Mahkamah membuat penghakiman pemohon masih dianggap beragama Islam dan seterusnya Mahkamah akan perintahkan pemohon itu dipulihkan di Pusat Bimbingan Islam tidak lebih dari 36 bulan untuk tujuan pendidikan dan bertaubat.
Rujuk Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak (Bil.2/1992), s.103 dan s.104. Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Melaka) (No.5/1991), s.73. Di Pahang (Enakmen Pahang s.109) dan Kelantan dalam Enakmen Kelantan (Bil.4/1994), s.102 (1) memperuntukkan bahawa persoalan sama ada seorang itu memeluk Islam atau sebaliknya hendaklah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah.
Enakmen Perak (Bil.2/1992), s.98.
Lihat misalnya Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) No.4/1999.
Lihat misalnya Enakmen Zakat dan Fitrah Sabah (No.6/1993.
Lihat kajian pada peringkat sarjana yang dijalankan oleh Mazlah Yaacob, “Hukuman Sebat: Kajian dari Perspektif Hukum Islam dan Undang-undang Jenayah di Malaysia”, Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, 2004. Sebagai gambaran ketidakselarasan itu, lihat Lampiran.
Cf. Enakmen Sabah (no.14/1992), Akta Wilayah-wilayah Persekutuan 1993 [Akta 505], Enakmen Kelantan (No 3/1982) dan lain-lain.
Kajian mengenai keberkesanan Mahkamah Syariah dalam menangani kes-kes kekeluargaan, mal dan jenayah di Malaysia sedang dijalankan dan kini di peringkat akhir kajian. Laporan preliminari telahpun dibentangkan dalam Seminar Penyelidikan diadakan di Balai Ilmu, Kompleks Akademi Pengajian Islam pada 21 Oktober 2003. Projek IRPA [UM 07-02-03-0767] ini diketuai oleh Prof.Madya Ahmad Hidayat Buang dan pembentang adalah penyelidik kepada kajian ini.

PERLEMBAGAAN SEBAGAI SEBUAH PERNYATAAN SEJARAH DAN TRADISI NEGARA

Dr. ABDUL AZIZ BARI
Kulliyah Undang-UndangUniversiti Islam Antarabangsa Malaysia

I. PENGENALAN

Sebahagian besar daripada rakyat negara ini kelihatan beranggapan bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah sebuah dokumen undang-undang yang bersifat teknikal dan hanya difahami oleh mereka yang terdidik didalam bidang perundangan 1. Meskipun ini adalah sesuatu yang kurang tepat dan tidak sepatutnya berlaku adalah sukar untuk mengharapkan masyarakat memahami isi kandungannya, apatah lagi mengetahui asas-asas penting Perlembagaan Persekutuan. Setakat ini Perlembagaan hanya dilihat sebagai sebuah dokumen perundangan yang hanya berkaitan untuk menjadi bahan pertikaian di mahkamah. Pada asasnya perlembagaan merujuk kepada doktrin dan prinsip yang membentuk asas pemerintahan dan pengendalian sesebuah negara2. Sementara itu mereka yang terdidik didalam bidang undang-undang sendiri kebanyakannya masih melihat dan memahami perlembagaan melalui pendekatan yang terlalu legalistic. Mereka tidak melihat sebagai sebuah dokumen yang merakamkan perkembangan dan perubahan sistem bernegara sejak zaman berzaman. Kertas ini cuba melihat bahawa Perlembagaan Pesrsekutuaan adalah sebuah dokumen yang tidak terpisah dari sejarah, perkembangan dan tradisi negara3. Ia juga cuba menghujjah bahawa meskipun bentuk perlembagaan kelihatan asing, intisari pentingnya sebenarnya berasal dari negara ini sendiri4 .II. CIRI-CIRI TEMPATAN YANG DIPERSETUJUI DALAM TAHUN 1957Asas penting dalam Perlembagaan Pesekutuan hari ini kebanyakkannya berasal dari perbincangan dan tolak ansur yang dicapai sewaktu kemerdekaan dirundingkan. Meskipun demikian sebahagian daripada landasan dan falsafah peruntukan tertentu yang ada hari ini sebenarnya mencerminkan sejarah dan tamadun asal negara ini, khususnya Islam dan orang Melayu. Hakikat ini perlu disedari supaya kita dapat memahami kesahan (legitimacy) dan ruang lingkup peruntukan tertentu yang ada dalam perlembagaan kita sekarang.Meskipun perlembagaan yang ada sekarang mula beroperasi pada 31 Ogos, 1957, bukan bererti bahawa segala bermula disitu. Sebagai contohnya, selepas Persekutuan Tanah Melayu dibentuk dalam tahun 1948, negeri Melayu mula mempunyai perlembagaan sendiri. Apabila negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, sebahagian besar daripada peruntukan dalam perlembagaan tersebut dikekalkan. Antara perubahan penting yang diperkenalkan ialah peruntukan supaya raja Melayu menjadi raja berperlembagaan5.Terdapat beberapa ciri tempatan yang kesemuanya menekankan bahawa Perlembagaan Persekutuan bukanlah sesuatu yang asing. Kedudukan raja, hak keistemewaan orang Melayu, kedudukan Islam serta Bahasa Melayu6 adalah lanjutan sistem dan unsur-unsur tradisional yang telah wujud sebelum kedatangan British lagi. Perkara ini boleh dianggap istimewa kerana peruntukan berkenaan tidak boleh dipinda melalui suara majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat dan Negara.Kedudukan raja adalah contoh paling penting bertapa perlembagaan negara meneruskan warisan asal negara ini. Meskipun mereka kini menjadi raja berpelembagaan, perlu ditegaskan bahawa kita tidak menyalin bulat-bulat apa yang dipraktikkan di Britain, negara asal demokrasi Westminster. Perlu diperingatkan bahawa kalau di negara tersebut konsep itu mempunyai akar umbinya dalam revolusi dalam tahun 1649 dan 1688 yang sebanarnya merupakan konflik antara rakyat dan raja secara langsung7, disini ia lebih merupakan proses perubahan dan penyesuaian beransur-ansur, yang bermula secara tidak langsung dengan perlaksanaan sistem residen yang dipaksakan oleh British. Tidak dinafikan ada persamaan antara sistem di Malaysia dengan sistem di Britain. Bagaimanapun ada hal tertentu seperti kuasa raja berhubung dengan Islam serta kedudukan Majlis Raja-raja yang tidak terdapat di Britain. Sebahagian daripada perbezaan ini berpunca daripada kelainan agama dan budaya kita dengan kedudukan agama serta budaya mereka. Sebab itulah walaupun Raja di Britain mempunyai peranan agama8, ia berbeza dengan kedudukan Yang di Pertuan Agong atau raja sebagai ketua agama dalam konteks perlembagaan kita. Boleh dihujjah bahawa Kesultanan Melayu meneruskan sebahagian daripada peranan yang dimainkan oleh khalifah Islam di zaman sebelum ini9.Ini diikuti dengan amalan federalisme; yang anatara lain tujuannya ialah untuk mengekalkan imej kemelayuan dan ciri asal serta penting negara ini. Tanpa federalisme10, imej dan identiti asal negara ini akan terkubur dengan terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu dan kemudianya Malaysia. Tidak perlu disebutkan bahawa ciri federalisme kita tidak diambil dari Britain kerana negara tersebut adalah negara unitari. Malaysia juga tidak meniru bulat-bulat sistem federal yang ada di Amerika Syarikat, Canada, India atau Australia. Perbezaan Sejarah, agama dan keperluan menentukan bahawa Persekutuan Malaysia perlu berbeza dengan mereka. Pengekalan kesulatanan Melayu menuntut bahawa hal yang berhubung dengan agama perlu diletakkan didalam bidang kuasa negeri-negri. Bagaimanapun, hasrat yang menginginkan sebuah kerajaan pusat yang kuat menyebabkan kebanyakan hasil mahsul diletakkan dibawah bidang kuasa pusat11. Begutu juga dengan hubungan luar serta angkatan tentera dan polis. Sesetengah persekutuan mengizinkan negerinya membuat hubungan luar. Sesetengah persekutuan juga membenarkan sistem mahkamah oleh pihak negeri. Ini semua tidak dilaksanakan di Malaysia kerana negara ini mempunyai keutamaan dan masalahnya sendiri.Daripada segi sistem politik pula ciri kemelayuan dan Islam diberikan tempat yang penting dan tidak boleh dikesampingkan. Diperingkat pusat meskipun perlembagaan tidak memperuntukkan secara jelas (explicit) bahawa Perdana Menteri mesti dipilih daripada kalangan orang Melayu, ketua negara mesti dipegang oleh raja Melayu. Diperingkat negeri perlembagaan negeri-negeri Melayu secara jelas memperuntukkan bahawa Menteri Besar dan setiausaha kerajaan negeri mesti dilantik daripada kalangan orang Melayu12. Ini sebenarnya adalah penerusan amalan yang telah wujud sebelum merdeka. Yang berbeza cuma kalau dahulu menteri besar dilantik secara peribadi oleh sultan, sekarang ia dilantik oleh sultan melalui prosedur yang mencerminkan lunas demokrasi13.Perlu dijelaskan bahawa peranan Yang di Pertuan Agong, Raja dan para Yang di Pertua Negeri dalam konteks ini bukanlah sesuatu yang berakar kepada sejarah dan tradisi. Sebaliknya mungkin lebih tepat jika dikatakan bahawa peranan tersebut lebih berakar kepada ketidaksempurnaan sistem dan proses demokrasi. Meskipun demikian oleh sebab Yang di Pertuan Agong dan Raja (tetapi mungkin tidak Yang di Petuan Negeri) mempunyai asas legitimacy mereka sendiri, kadangkala kedudukan mereka mempengaruhi perjalanan dan proses politik. Samada ini demokratik atau sebaliknya adalah soal yang lain.Menyetuh tentang hak-hak keistemewaan orang Melayu14, sejarah awalnya bermula dengan rungutan-rungutan dan desakan-desakan yang dibuat oleh raja Melayu dalam sidang durbar yang bermula dalam tahun 1897 di Kuala Kangsar. Sekitar tahun 1913, pelbagai enakmen untuk melindungi tanah orang Melayu mula diluluskan15. Meskipun surahanjaya Reid tidak bersetuju dengan cadangan UMNO dan Perikatan supaya kedudukan ini dikekalkan, parti yang memerintah berpendapat bahawa pandangan surahanjaya tersebut tidak dapat diterima. Selepas 1971, peruntukan ini dipinda dan diperluaskan untuk meliputi kedudukan rakyat asal Sabah dan Sarawak.Walaupun peruntukan tentang hak keistemewaan ini masih kekal telah wujud cadangan untuk merombaknya. Yang menarik disini ialah bahawa semua ini disuarakan dalam bahawa tindakan sedemikian agak sudah jelas melanggar peruntukan undang-undang mengenai hasutan. Dalam kempen pilihanraya tahun 1986 umpamanya, PAS telah membuat janji bahawa sekiranya ia terpilih ia akan meminda peruntukan mengenai hak keistemewaan orang-orang Melayu atas alasan kedudukan tersebut tidak selaras dengan prinsip kesamarataan yang dianjurkan oleh Islam. Dalam perhimpunan agong UMNO 1996, Perdana Menteri sendiri pada hakikatnya telah mempersoalkan kedudukan ini apabila melihat tanah rezab Melayu sebagai sesuatu yang tidak secocok dengan ketuanan Melayu.Mengenai Islam pula, kedudukan adalah penerusan daripada peruntukan yang ada dalam perlembagaan negeri Melayu sebelum tahun 195716. Walaupun perlembagaan bertulis boleh dikatakan sebagai satu fenomena yang baru, penetapan Islam sebagai agama negeri boleh dilihat sebagai usaha untuk mengakui dan menjelaskan nilai dasar negeri Melayu. Sebelum kedatangan British perkara ini mungkin tidak perlu kerana sebelum itu tidak wujud masyarakat bukan Islam yang besar jumlahnya. Mungkin boleh juga dihujjah bahawa keadaan sebelum British juga tidak menghendaki perlunya Islam dinyatakan secara rasmi dalam undang-undang tubuh negeri Melayu.Apapun tanggapan kita terhadap kedudukan Islam dalam perlembagaan hari ini, suatu yang jelas ialah bahawa Malaysia bukan sebuah negara sekular. Meskipun pihak perikatan mendakwa sebaliknya17, daripada segi konsepnya adalah ganjil untuk mengatakan bahawa negara ini sekular sedangkan dalam masa yang sama ada peruntukan mengenai agama dalam perlembagaan. Negara sekular yang sebenar tidak mengizinkan negara turut serta dalam membantu menegakkan agama atau mengizinkan wang pembayar cukai digunakan untuk tujuan-tujuan agama18. Soal apakah Persekutan Malaysia adalah sebuah negara Islam atau sebaliknya adalah soal yang lain. Mungkin perlu disebut bahawa dalam dunia hari ini tidak mudah untuk membahagikan antara negara Islam dengan yang sebaliknya.Mengenai Bahasa Melayu, sebab mengapa ia diletakkan sebagai bahasa rasmi umpamanya tidak berbeza dengan unsur tradisional dan tempatan lainnya. Bagaimanapun oleh kerana kita mahu memberi hak untuk pengunaan bahasa lain, kedudukan ini tidak boleh digunakan sebagai lesen untuk menyekat mereka19. Dengan kata lain perlembagaan cuba mencari jalan pertengahan. Ciri ini juga kelihatan dalam peruntukan berhubung dengan kedudukan istimewa orang Melayu vis-a-vis kepentingan yang sah kaum-kaum yang lain. Begitu juga dengan soal kedudukan Islam dengan agama lain. Tema yang sama juga boleh dilihat dalam soal institusi beraja. Peranan mereka mesti dilihat dalam konteks demokrasi berparlimen yang menetapkan bahawa hak memerintah adalah pada wakil yang mereka pilih. Dengan itu meskipun Raja-raja (termasuk Yang di Pertuan Agong dan Yang di Pertua Negeri) mempunyai budibicara tertentu ini tidak sepatutnya digunakan untuk mencabar kerajaan yang memerintah20.
III PERLAKSANAAN - ANTARA IDEAL DAN KENYATAAN
Negara telah merdeka selama hampir empat dekad. Antara tahun 1957 dan 1994 perlembagaan telah dipinda sebanyak 41 kali. Meskipun ini menunjukkan bahawa is terlalu kerap dipinda, perlu juga diingat bahawa perlembagaan negara ini adalah terperindi (detailed): 183 perkara (terbahagi kepada 14 bahagian) dan 12 jadual. Berbeza dengan Amerika Syarikat yang perlembagaannya bersifat umum, perlembagaan kita adalah terperinci dan perlu dipinda untuk disesuaikan dengan kehendak dan perubahan21. Contoh yang baik untuk ini ialah perlunya kerusi Dewan Rakyat ditambah mengikut keperluan. Tidak semua pindaan memerlukan majoriti 2/3; setengahnya hanya perlukan simple majority.Meskipun demikian tidak dinafikan bahawa ada juga pindaan-pindaan yang dibuat berdasarkan kepentingan dan pertimbangan politik seperti kekalahan dimahkamah dan seumpamanya. Kontroversi yang belaku sewaktu pindaan perlembagaan pada tahun 1983 dan 1993 adalah contoh-contoh lain yang menekankan bahawa meskipun niat asal pindaan mungkin boleh diterima. Cara melaksanakannya telah menimbulkan persoalan22. Apa pun keadaannya ini mengambarkan beberapa perkara. Yang pertama, ia seolah-olah menayangkan bentuk national temperament kita; yang kadangkala terserlah tatkala kita menghadapi krisis dan masalah perlembagaan. Meskipun undang-undang ada kalanya menyediakan alternatif, seperti membuat rujukan ke mahkamah, kita lebih gemar memilih cara yang sesuai dengan budaya Melayu. Ini jelas dalam pertembungan antara Raja Melayu dengan pemimpin UMNO dalam kerajaan dalam tahun 1983 dan 1993. Ini mungkin ada kebaikan. Yang kedua, ia menunjukkan bahawa dalam operasinya, pelembagaan lebih menggambarkan semangat dan kehendak tempatan. Hatta buat mereka yang melihat pelembagaan ini sebagai satu peninggalan penjajah sekalipun, pindaan yang dibuat selama ini tentunya telah menjadikan dokumen penting ini lebih bersifat Malaysia. Soal apakah ia lebih baik atau sebaliknya adalah soal yang lain. Yang penting perubahan itu telah dilakukan (atau dipaksakan) oleh wakil yang dipilih oleh rakyat negara ini sendiri. Sebab itu adalah tidak tepat jika kita menyalahkan penjajah (atau pemimpin-pemimpin terlibat yang merangkanya) atas apa juga masalah yang dihadapai berhubung dengan perlembagaan. Yang ketiga, ini juga mengambarkan bahawa dalam kebanyakan hal, contohnya pelaksanaan undang-undang Islam, yang paling penting adalah kemahuan politik (political will). Menyalahkan perlembagaan adalah dalihan yang tidak selalunya benar. Walhasil Reid Commission sendiri telah mengakui perlunya proses pindaan perlembagaan ini tidak terlalu kaku sehingga menyulitkan perubahan23. Ini menunjukkan bahawa apa pun asas dan ideal yang dipersetujui dan diterima pada tahu 1957, perlaksanaan dan tafsiranya terhadap perlembagaan tidak semuanya dilakukan mengikut teorinya. Inilah punya kepada konflik dan krisis perlembagaan. Masalahnya bukan sangat berpunca kepada perlembagaan; ia lebih merujuk kepada sikap pihak yang telah diberikan kuasa oleh perlembagaan.
IV. BEBERAPA PENGAMATAN TERHADAP PENAFSIRAN OLEH MAHKAMAH
Peranan mahkamah penting kerana ia menduduki tempat yang penting dalam konsep perasingan kuasa. Ia telah diamanahkan untuk mentafsirkan perlembagaan dan memelihara undang-undang. Dalam konteks pemisahan kuasa, mahkamah (judiciary) memainkan peranan yang amat penting selain daripada dewan perundangan (legislatures; Parlimen dan dewan undangan negeri) dan eksekutif24. Semasa negara masih sibuk memerangi komunis dan subversif tafsiran terhadap peruntukan melibatkan kebebasan individu umpamanya bergitu restrictive, seolah-olah menyamai sikap mahkamah di Britain semasa negara itu sedang berada dalam suasana perang. Inilah yang disebut sebagai `Liversidge v Anderson period`, satu era dimana kebanyakan keputusan memihak kepada pihak eksekutif25. Di Malaysia, meskipun peruntukan yang menyentuh kebebasan dan hak asasi manusia dirangka dengan begitu teliti supaya ia benar menepati matlamatnya (untuk memelihara demokrasi), sukar untuk menafikan bahawa undang-undang, kadangkala, telah disalahgunakan. Dan mahkamah tidak bersedia untuk menekankan falsafah disebaliknya peruntukan tersebut. Sebab itulah dalam kes yang melibatkan penahanan tanpa bicara dibawah Akta Keselamatan Dalan Negeri (ISA), keputusan pihak kerajaan tidak diganggu.Bagaimanapun akhir-akhir ini telah kelihatan tanda bahawa sebahagian daripada hakim tempatan mula bersedia memberi ruang kepada hujjah yang memihak kepada rakyat biasa26 meskipun pada umumnya ia bersifat teknikal.Secara teorinya mahkamah kita menerima bahawa penafsiran perlembagaan perlu berbeza dengan undang-undang biasa. Dalam kes Dato' Menteri Othman Baginda27 Mahkamah Persekutuan menekankan bahawa ia mestilah liberal. Bagaimanapun setakat mana komitmen ini telah dipraktikan masih menjadi tandatanya. Sewaktu institusi kehakiman negara ini masih dikatakan antara yang bebas di Komenwel, yakni sebelum berlakunya Krisis Kehakiman ekoran pemecatan Tun Salleh Abas28, keraguan terhadap komitmen mahkamah di negara ini telah dipersoalkan29.Ini seolah-olah memberikan bayangan bahawa meskipun badan kehakiman bebas, ia tidak mungkin sepenuhnya dapat lari daripada nilai yang dominan dalam tempoh tertentu. Mungkin berguna untuk kita menyebut pendapat Ronald Dworkin, seorang failasuf undang-undang semasa dari Amerika Syarikat, bahawa dalam kes yang sukar, hakim akan mencari panduan daripada prinsip yang tidak semuanya undang-undang.Yang jelas ialah bahawa mahkamah, dimana-mana jua, tidak beroperasi dalam sebuah vacuum; ia harus membuat keputusan dalam suasana politik dan masyarakat yang mempunyai nilai dan keutamaan tertentu. Walaupun peranannya penting, mahkamah tidak boleh terlalu kedepan dalam memaksakan perubahan kerana hakim tidak dipilih oleh rakyat. Dalam pada itu kedudukannya sebagai penafsir undang-undang memaksa mahkamah berhati-hati dalam memutuskan kes. Dalam konteks common law, keputusan akan menjadi panduan yang mengikat (binding presedent). Ini bukan bermaksud untuk menafikan legitimacy peranan mereka; yang ingin ditekankan ialah bahawa mahkamah perlu cermat dalam menjalankan peranannya.
V. PENUTUP DAN CADANGAN-CADANGAN
Telah dihujjah bahawa perlembagaan negara bukanlah peninggalan penjajah. Ia bukan sesuatu yang dipaksakan ke atas kita. Kalau pun ada pengaruh luar, ini semua adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana kita semua belajar dan mengambil iktibar daripada pengalaman dan kecemerlangan tamadun bangsa dan negara lain. Samalah seperti Perlembagaan Amerika Syarikat. Ia meniru dan mengambil iktibar dari tamadun Greek, menolak cara dan sistem Inggeris. Bagaimanapun mereka ialah sejarah, kehendak dan cita-cita mereka sebagai sebuah bangsa yang ingin mempunyai identiti sendiri.Agak jelas juga bertapa perlembagaan kita cuba mencari jalan pertengahan: memberi keistemewaan untuk pribumi tetapi dalam masa yang sama cuba untuk tidak menindas kepentingan yang sah yang dimiliki oleh orang bukan Melayu. Atau mengekalkan ciri tradisi yang melambangkan sejarah dan keagungan silam tetapi dalam masa yang sama mahu mengamalkan demokrasi. Adalah jelas bahawa kadangkala sulit untuk melaksanakan ideal ini.Telah dikemukakan juga bahawa semua institusi dan pihak tidak dapat mengkesampingkan faktor tempatan dalam operasi perlembagaan. Ini termasuk pihak mahkamah sendiri. Disini kita melihat betapa tidak semua pengaruh dan nilai tempatan semestinya mendatangkan hasil yang positif, khususnya yang melibat institusi atau proses yang berasal atau ditiru dari luar. Nilai sejagat yang lebih abadi seperti keadilan, kesaksamaan, accountability dsb. lebih perlu ditekankan. Unsur ini tidak bertentangan dengan prinsip Islam.Dalam tempoh selama hampir 40 tahun yang lalu ideal dan falsafah perlembagaan tidak diikuti semuanya.Kelihatannya institusi, ahli politik, para pentadbir dan rakyat jelata keseluruhanya tidak selalu memahami pertimbangan tersebut. Dalam banyak hal, kepentingan politik kepartian dan kelompok lebih mempengaruhi keputusan dan cara bagaimana peruntukan perlembagaan dilaksanakan. Ini termasuk bagaimana pindaan dilakukan.Untuk mengatasi masalah itu dimasa akan datang, kita perlu memulakan pendidikan perlembagaan diperingkat sekolah, khususnya disekolah-sekolah menengah dan universiti, termasuk yang dimiliki oleh pihak swasta. Perlu ditekankan bahawa perlembagaan adalah milik bersama. Pengajian perlembagaan tidak harus dianggap sebagai forum untuk mengkritik pemerintah.Selain daripada itu pendekatan terhdap pengajaran undang-undang perlembagaan juga perlu difikirkan semula. Kita masih bergantung kepada tulisan yang dibuat oleh orang luar. Masalah yang timbul ialah mereka tidak memahami bahasa Melayu dan dengan itu gagal memahami persoalan dan isu yang sebenar. Buku tentang perlembagaan perlu ditulis oleh rakyat Malaysia sendiri. Ini menuntut iltizam yang bersungguh dari banyak pihak seperti kerajaan, pihak berkuasa universiti, para penerbit dan yang paling penting, para sarjana undang-undang tempatan30.Dalam pada itu mungkin perlu juga dipertimbangkan agar pengajian undang-undang tidak dilihat hanya sebagai jambatan untuk mengejar kekayaan. Pengajian Perlembagaan juga perlu diperluaskan di pengajian yang lain, sekurang-kurangnya dijadikan salah satu dari mata pelajaran pilihan. Ini akan menjamin bahawa golongan yang terdidik yang akan menjawat jawatan penting negara memahami intisari perlembagaan.Mungkin perlu difikirkan bahawa pengajian undang-undang perlembagaan harus diajar bersama dengan disiplin yang lain seperti sejarah, teori perlembagaan berdasarkan agama, sains politik dan sosiologi politik. Sekiranya ini tidak dapat dibuat diperingkat diploma atau ijazah, mungkin ia boleh dijadikan kursus jangka pendek sama seperti kursus motivasi yang begitu popular sekarang. Pendeknya pendidikan perlembagaan perlu dilihat sebagai suatu proses yang berterusan. Prinsip perlembagaan sentiasa berkembang mengikut peredaran masa.Tidak kurang penting juga ialah peranan yang patut dimainkan oleh media massa. Selama ini mereka boleh dikatakan telah gagal untuk membantu rakyat memahami intisari perlembagaan. Mereka, terutamanya yang dimiliki oleh golongan yang rapat dengan pihak parti pemerintah, hanya besedia menyiarkan pendapat yang selari dengan dasar dan keutamaan kerajaan. Dalam krisis istana kerajaan negeri Kelantan umpamanya media memberi terlalu banyak ruang kepada tafsiran yang ganjil dan salah terhadap pelbagai perkara dan isu yang berhubung dengan kedudukan, peranan dan kuasa pihak sultan, menteri besar dan kakitangan awam31. Ini mendorong orang awam menyakini bahawa yang penting bukan perlembagaan dan isinya, tetapi apa yang kerajaan yang memerintah mahu dan fikir betul. Ini kurang tepat kerana intisari perlembagaan bertulis itu sendiri ialah membahagi kuasa dan memastikan bahawa tidak ada siapa raja, parlimen, menteri, hakim, para pentadbir-yang melampaui batasan yang telah ditetapkan.
Nota untuk bacaan:*
kependekanJ.C.P.S. Journal of Commonwealth and Political StudiesJ.I.L.I. Journal of Indian Law Institute
M.L.J. Malayan Law Journal
J.M.C.L.Journal of Malaysia and Comparative Law
I.C.L.Q. International and Comparative Law Quarterly*
Reid Commission Report 1957 dan Constitutional Proposals for The Federation of Malaya 1957 (White Paper) boleh didapati dalam Kevin Tan, Constitutional Law of Malaysia and Singapore (1991). White Paper adalah hasil semakan terhadap laporan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Reid. Perlembagaan yang ada sekarang ialah draf yang dikemukakan oleh White Paper tersebut.
1 Lihat kajian dalam Sun: " Malaysia Constitution : Making Amends" Sun Megazine, 29 Ogos, 1996, hh. 4-7.
2 Lihat Kevin Tan, et al, TheConstitutional Law ini Malaysia and Singapore (1991), hal. 1
3 Idea dan tema yang sama boleh didapati dari van Caenegem, An Historical Introduction to Western Constitutional Law (1995) dan Chrimes, English Constitutional History (1967).
4 Untuk perbincangan lanjut lihat umpamanya Robinson, The Constitutional Structure of the Commonwealth (1960), hh. 89, 107 dan 113.
Lihat juga de Smith, `Westminster's Export Model : The legal Framework of Responsible Government` (1961) J.C.P.S 1
5 Untuk perbincangan lanjut tentang konsep ini lihat Abdul Aziz Bari, The Development and Role of Constitutional Monarchy ini Malaysia, Tesis Phd, Universiti Birmingham 1996.
Lihat juga Henshall, The Myth of Absolutism (1992) yang menjelaskan bertapa konsep beraja mutlak itu sebenarnya tidak wujud dimana-mana pun kerana - walau apa pun bentuknya-raja-raja tetap dibatasi oleh nilai-nilai tertentu. Perlu dinyatakan disini bahawa kita perlu membezakan antara nilai yang sebenar dengan penyelewangan.
6 Lihat Mohd. Salleh Abas, The Constitution, Law and Judiciary (1984), hh. 37-53
7 Lihat Winterton, Parliament, the Executive and the Governor-General-A Constitutional Analysis (1983), hh. 2-3
8 Seperti apa yang disebut sebagai The Supreme Governor of the Church of Enfland atau geleran The Defender of the Faith.
9 Untuk perbincangan lanjut lihat Abdul Aziz Bari, supra, nota 5, hh. 34-6, 54-61 dan 242-67
10 Untuk ini lihat umpamanya Mohd Salle Abas, `Federalisme ini Malaysia-Changes ini the first twenty years` dalam Suffian, Lee & Trindade (ed), The Constitution of Malaysia : Its Developments 1957-77 (1978) dan Shafruddin & Fadzli (ed), Between Centre and State : Federalism in Perspective (1988)
11 Lihat Raid Commission Report, para 3(i) dan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan
12 Lihat umpamanya The Laws of the Constitution of Kedah, Arts, 35 (2) dan 36 (2) (a).
13 Tetapi cf. Gullick, Malaysia (1969), h.126
14 Per.160(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa orang Melayu ialah `a person who habitually speaks the Malay Language, conforms to Malay custom and (a) was before Merdeka day born in the Frderation or Singapore or born of parents one of whom was born ini then Federation or in Singapore or is on that day domiciled ini the Federation or Singapore.`
15 Lihat Roff, The Origins of Malay Nationalism (1967), hh. 12, 137
16 Lihat Ahmad Ibrahim, `The Position of Islam in the Constitution` dalam Suffian, Lee & Trindade (ed), supra, nota 10, hh. 41-3
17 Lihat umpamanya Constitutional Proposals for Federation of Malaya (the Whhite Paper), para 57
18 Bagi konsepnya lihat Alexandrowicz, `The Secular State in India and the United States` (1960) 2 J.I.L.I. 273, 274-75. Lihat juga Perlembagaan Persekutuan, Per.12(2)
19 Lihat umpamanya kes Mark Koding v Public Prosevutor (1982), 2 MLJ 111, dimana seorang ahli parlimen yang mencadangkan penghapusan sekolah-sekolah Cina dan Tamil telah didakwa dimahkamah.
20 Untuk perbincangan lanjut lihat Bogdanor, The Monarchy and the Constitution (1995)
21 Untuk perbincangan lanjut lihat Tun Mohamed Suffian, An Introduction to the Federal Constitution, edisi kedua (1976), hh. 341-43
22 Untuk perbincangan lebih lanjut lihat Lee, Constitutional Conflicts in Contemporary (1995), hh. 100-25
23 Lihat Raid Commission Report, para. 80
24 Untuk ini lihat Jain,`The Role of yhe Judiciary in a Democracy` (1979) 6 JMCL 241
25 Untuk ini lihat umpamanya Griffith, The Politics of the Judiciary edisi keempat (1991), hh. 151-97
26 Lihat penghakiman James Foong HMT dalam kes Bakun: Kajig Tubek & Ors v Ekran Berhad & Ors (1996) 2 MLJ 388
27 (1981) 1 MLJ 29
28 Untuk krisis ini lihat Harding, `The 1988 Constitutional Crisis in Malaysia` (1990) 39 I.C.L.Q 57 dan Lee, supra, nota 22, hh. 43-85
29 Lihat umpamanya ALIRAN, Reflections on the Malaysia Constitution (1987), hh. 87-98
30 Pemikiran ini diperolehi dari perbincangan oleh penulis dangan Prof. L.A. Sheridan, Dekan Pertama Fakuti Undang-Undang Universiti Malaya (Singapura) di Wales, U,K., pada April 1996. Beliau menulis The Constitution of Malaysia, edisi keempat (1987)
31 Untuk ini lihat Abdul aziz Bari, `The Kelantan Crisis and the Constitution` Sun, 11 Ogos, 1996,____, The Politics of Dissolving Assemblies, `ibid (25 Ogos),____,`The Constitutional Role of the Civil Servants` ibid (8 Sept) dan ______, `The Monarchy, Constitution and Politics` ibid (17Nov).

SUMBER http://members.lycos.co.uk/nabirz/pol8.htm

Islam dan Perlembagaan Malaysia

SEMUA rakyat Malaysia, khususnya orang-orang Islam, mengetahui bahawa perlembagaan kita mencatat Islam sebagai agama persekutuan. Oleh itu Islam dilindungi oleh perlembagaan negara kita dan segala kemudahan serta perbelanjaan negara boleh dipergunakan untuk pembangunan Islam tanpa dapat dicabar atau dipertikaikan.
Bagaimanapun sesuai dengan ajaran Islam itu sendiri maka agama-agama lain tetap terjamin dan penganut agama bukan Islam diberikan kebebasan untuk mengamalkan agama mereka masing-masing di dalam suasana aman dan harmoni.
Bagi saya kedudukan Islam di negara kita cukup kuat dan keadaan ini memberikan ruang yang luas bagi kita untuk mengisinya supaya Islam dapat menjadi wadah pembangunan negara di dalam segala sektor dan aspek pembangunannya, iaitu pembangunan sosial, pendidikan, ekonomi, kekeluargaan, kewarganegaraan, pengurusan, sains teknologi dan sebagainya.
Hal ini dapat kita saksikan di dalam negara kita sejak zaman kemerdekaan lebih empat puluh tahun yang lalu, iaitu pengisian Islam dan nilai-nilainya di dalam pembangunan negara kita yang mulai terserlah dan menampakkan kenyataannya di dalam arus perdana pembangunan negara.
Itulah aspek positifnya yang saya rasa merupakan persepsi majoriti orang Islam di negara kita, iaitu melihat bahawa Islam telah didominasikan oleh pemerintah di dalam masyarakat negara kita, dan menampakkan perkembangannya yang semakin memuncak dan maju ke hadapan dari semasa ke semasa.
Saya menyebut hal ini kerana dalam penerimaan yang positif terhadap kedudukan Islam di dalam perlembagaan negara kita dan pengisiannya yang berterusan secara konkrit di dalam berbagai-bagai aspek pembangunan umat dan negara, maka terdapat juga suara-suara sumbang yang melihat secara negatif terhadap kedudukan Islam sebagai agama persekutuan yang tercatat di dalam perlembagaan itu.
Pandangan yang negatif ini cuba mempertikaikan kedudukan Islam di dalam perlembagaan sebagai kedudukan yang kukuh dan menyeluruh. Pandangan ini sering melihat kedudukan Islam itu dengan pandangan yang amat sinikal, iaitu satu kedudukan tempelan seperti melukut di tepi gantang, wujudnya tidak bertambah, dan tanpa kewujudannya juga tidak mengurang apa-apa. Tegasnya Islam yang diperuntukkan di dalam perlembagaan itu menurut pandangan negatif ini bukanlah dalam erti kata Islam sebagai ad-din yang merangkumi aspek-aspek pendidikan, kebudayaan, perekonomian, perundangan dan sebagainya dalam konsep peraturan dan sistem hidup yang lengkap dan menyeluruh.
Pandangan yang melihat kedudukan Islam secara negatif di dalam perlembagaan itu sering memetik tafsiran yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Agung oleh Ketua Hakim Negara yang membicarakan kes-kes tertentu pada tahun 1988 dan 1990 yang merujuk kepada peruntukan perlembagaan ketika mentafsirkan Islam sebagai agama. Persekutuan iaitu dengan tafsiran yang hanya merujuk kepada undang-undang keluarga, perkahwinan, perceraian dan warisan untuk orang-orang Islam sahaja.
Maka dalam konteks ini memang Islam di dalam perlembagaan kita itu nampaknya amat terhad dan amat sempit skopnya iaitu hanya terhad kepada undang-undang keluarga dan sebagainya bagi orang-orang Islam. Maka hal ini tentulah membuka peluang yang amat luas bagai pandangan-pandangan negatif untuk mendakwa bahawa kedudukan Islam di negara kita ini sebenarnya adalah sempit dan tidak merangkumi takrifan ad-din yang sebenarnya.
Sikap melihat kepada kata-kata dan ungkapan ayat tertentu memanglah dapat dijadikan ukuran untuk menarik sesuatu kesimpulan yang dikehendaki, terutamanya untuk membuat tafsiran-tafsiran yang sesuai dengan pandangan sendiri secara peribadi atau kelompok yang tertentu.
Saya lebih cenderung untuk melihat kepada pengisian dan pelaksanaan Islam di negara kita sendiri sebelum membuat sesuatu kesimpulan tentang kedudukan Islam di negara kita ini. Malah saya amat tertarik dengan pandangan yang dibuat oleh seorang tokoh perundangan sivil dan Islam yang terkemuka di negara kita, iaitu yang telah membuat kajian tentang perundangan Islam selama berpuluh-puluh tahun ketika hayatnya. Tokoh yang saya maksudkan itu ialah Allahyarham Profesor Tan Sri Ahmad Ibrahim yang diakui kewibawaannya di dalam bidang perundangan di negara kita dan di kalangan dunia antarabangsa.
Profesor Ahmad Ibrahim membuat pentafsiran tentang kedudukan Islam di dalam perlembagaan Malaysia sebagai satu kedudukan yang mantap dalam pengertian Islam sebagai ad-din, iaitu yang merangkumi keseluruhan aspek kehidupan kita. Beliau amat yakin dengan pandangannya ini berdasarkan fakta dan angka yang ditemuinya di dalam kajian dan penyelidikan yang dijalankannya tentang pembangunan dan perkembangan Islam di Malaysia, dan pengalamannya mengemukakan usul dan cadangannya yang banyak kepada pihak kerajaan di dalam pindaan undang-undang negara supaya sesuai dengan tuntutan Islam.
Ternyata bahawa Islam telah banyak sekali menyumbang kepada pindaan akta dan peraturan-peraturan yang melibatkan undang-undang jual beli, sewa beli, perbankan, takaful, pajak gadai dan aktiviti-aktiviti lain yang diamalkan selama ini berdasarkan perundangan konvensional atau perundangan British. Dalam membina wadah Islam di dalam ekonomi negara, maka kepakaran agama telah dibawa ke dalam arus perdana sehingga tertubuhnya badan-badan penasihat syariah di bank negara dan bank-bank perniagaan yang lain, di dalam syarikat-syarikat kewangan dan sebagainya, malah di dalam perbadanan sekuriti (security commission) telah diwujudkan juga jawatankuasa syariah untuk menasihati perbadanan tersebut dari sudut syariah.
Dari sudut pendidikan tidak ada sesiapa pun yang boleh menafikan hakikat yang terserlah di hadapan kita dalam usaha menjadikan Islam sebagai teras pendidikan di segala peringkat pengajian menjelang ke peringkat pengajian tinggi iaitu ke peringkat universiti.
Berdasarkan kenyataan yang hanya sebahagian kecil sahaja disebutkan di atas sebagai contoh, maka orang-orang yang luas pandangan dan yang berfikiran positif dalam melihat sesuatu perubahan, akan tunduk dan akur dengan kenyataan bahawa kedudukan Islam di dalam perlembagaan kita adalah merupakan teras yang amat kuat, iaitu satu kedudukan yang membuka ruang yang amat luas untuk diberikan pengisian yang luas pula, bukan hanya terhad kepada undang-undang keluarga dan yang berhubungan dengan perkahwinan dan kematian semata-mata.
Sebab itulah telah saya sebutkan di atas bahawa melihat sesuatu secara negatif itu memanglah amat mudah dan senang bagi orang-orang yang pesimistik. Tetapi melihat sesuatu secara positif itulah sebenarnya yang menambahkan azam dan tekad yang kuat bagi orang-orang yang positif dan optimistik. Marilah kita menjadi orang-orang yang berpandangan cerah dan optimis untuk kebaikan agama dan negara kita.
*DATUK DR ISMAIL HAJI IBRAHIM, Ketua Pengarah, IKIM,- e-mel:ismail@ikim.com.mu.

SUMBER http://rampaiseri.wordpress.com/2007/04/15/islam-dan-perlembagaan-malaysia/